“Ibu, Lampin Pakai Buang Saya Sudah Habis. Sila Baca Laporan Saya.” Ibu Kecewa Badan Anaknya Diconteng Dakwat Kekal

SEORANG ibu tunggal terkejut apabila melihat satu nota ditulis pada badan anaknya dengan menggunakan pen penanda berwarna hijau.


Mirror UK melaporkan, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Heather menemui ‘pesanan’ berkenaan pada bahagian perut anaknya ketika mahu menukar lampin pakai buang.

Ia tertulis: “Ibu, lampin pakai buang saya sudah habis. Sila baca laporan saya.”

Heather berkata, pusat jagaan berkenaan mengamalkan catatan laporan harian untuk kanak-kanak di bawah jagaannya bagi memaklumkan pelbagai perkara kepada ibu bapa sama ada berkaitan tingkah laku, waktu lampin pakai buang ditukar atau keperluan yang perlu ditambah.

Namun, dia mungkin terlupa untuk membaca laporan berkenaan yang menyebabkan dia terlepas pesanan untuk membawa lampin pakai buang baharu.

Katanya, dia kecewa dengan tindakan kakitangan pusat jagaan berkenaan kerana dia berpendapat mereka boleh terus memaklumkannya ketika dia mengambil anaknya di sana.

Namun, mereka memilih untuk menulis pesanan itu pada badan anaknya.

Heather berkata, dia cuba menggosok badan anaknya dengan tisu basah namun, ia tidak hilang.

“Saya merancang untuk membawa anak ke pantai untuk bermain, dan kini kami terpaksa batalkannya kerana badan anak saya dipenuhi tulisan,” katanya.