Ikan Ini Terpakasa Menjalani Pembedahan Kerana Jambulnya Terlalu Berat Sehingga Dia Tidak Dapat Berenang

CARDIFF – Seekor ikan emas yang berenang terbalik gara-gara kepala yang terlalu berat ‘mendapat nafas baharu’ setelah menggunting ‘jambul’.

Ikan emas comel diberi nama Bubble dari Cardiff, United Kingdom itu dibawa ke klinik haiwan oleh pemiliknya yang berasa bimbang melihat keadaan ikan tersebut.

Bubble dilaporkan menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di kepalanya yang juga lebihan kulit tebal dikenali sebagai ‘wen’ atau ‘hood’.

Ketumbuhan jenis tidak berbahaya itu adalah ciri biasa pada ikan emas spesies Oranda hasil pembiakan selektif di China, ia bertujuan membantu menarik perhatian pasangan.

Bubble menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di kepalanya yang merupakan lebihan kulit dikenali sebagai ‘wen’ atau ‘hood’. – Foto walesonline.co.uk

‘Hood’ itu akan terus membesar sehingga ikan berusia kira-kira dua tahun, namun ia perlu ‘dirapikan’ sekiranya saiznya yang besar mengganggu penglihatan ikan, dalam sesetengah kes ia boleh menyebabkan buta.

“Ia sejenis mutasi genetik dan adakala ia menjadi terlalu besar. Dalam kes Bubble, ia menyebabkannya berenang senget dan akhirnya terbalik,” kata pakar haiwan peliharaan dari Origin Vets, Sophie Jenkins.

Menurutnya, keadaan boleh menjadi lebih teruk sekiranya tidak ditangani segera.

Prosedur membuang ketumbuhan itu hanya mengambil masa lapan minit dan Bubble yang hilang lima peratus berat badan susulan pembedahan itu dilaporkan kembali berenang aktif dalam tangkinya. – Agensi