“Betul ke baby dalam kandungan boleh rasa siapa yang usap perut ni? Asal Papa datang je dia ‘menyorok’. Tadi bukan main aktif lagi bila Mama yang pegang.”
Masa mengandung, ramai wanita akan mula merasakan perubahan fizikal terutamanya pada bahagian perut yang semakin membesar dari bulan ke bulan.
Kadang-kadang, macam tak percaya yang kita sedang ‘membawa’ seorang insan baru di dalam tubuh kita.
Tindakan mengusap perut boleh dikatakan sebagai satu perkara yang sangat semulajadi dilakukan oleh ibu mengandung. Sesekali ibu akan membelai lembut perut sambil bercakap dengan bayi dalam kandungan atau mendoakan yang baik-baik buatnya. Malah, ada yang dah mula membaca buku untuk bayi sejak dalam kandungan lagi.
Sebenarnya, tindakan anda mengusap perut ketika hamil ini memiliki kesan yang besar terhadap perkembangan bayi!
5 KEAJAIBAN SENTUHAN IBU YANG LUAR BIASA TERHADAP KANDUNGAN
Menurut sebuah kajian oleh University of Dundee di United Kingdom, sentuhan adalah stimulus yang paling utama terhadap bayi dalam kandungan. Berbanding dengan aktiviti bercakap atau menyanyi, bayi paling banyak memberi respon terhadap sentuhan ibu!
Respon ini ditunjukkan dengan menggerakkan tubuhnya di dalam rahim seperti menendang atau menyentuh mukanya. Ini menunjukkan bayi dalam rahim sudahpun dapat merasakan dan merespon terhadap sentuhan magikal ibu.
MENGGALAKKAN PERKEMBANGAN OTAK BAYI
Selain menunjukkan respon melalui pergerakan, sentuhan ibu juga dapat memberi rangsangan terhadap perkembangan tubuh bayi, termasuklah otaknya.
Dr Attila Dewanti menerusi sebuah artikel menjelaskan bahawa simulasi sentuhan seperti mengusap perut ketika hamil dapat merangsang hubungan saraf hingga memicu perkembangan otak bayi.
Perkembangan Janin Dalam Kandungan
MEMATANGKAN EMOSI BAYI
Sebuah artikel oleh Mother Nature Network melaporkan bahawa sentuhan adalah deria pertama yang dirasai oleh bayi, iaitu sekitar usia 8-11 minggu. Kuasa sentuhan magikal ibu ini juga sebenarnya memberi kesan terhadap psikologinya.
Sentuhan penuh kasih sayang ini dikatakan mampu mematangkan emosi bayi, sehingga menjadikannya tidak mudah depresi apabila besar nanti.
MELAHIRKAN RASA CINTA LUAR BIASA
Dengan menyentuh dan mengusap perut yang semakin membesar, ibu-ibu akan dapat merasakan kuasa ‘bonding’ yang amat hebat. Ia melahirkan rasa cinta yang luar biasa. Malah, ia lebih dahsyat lagi berbanding ‘jatuh cinta pandang pertama’ sebab ibu-ibu belum pun lagi melihat wajah bayi, kan?
BAYI LEBIH ‘KENAL’ SENTUHAN MAMA
Dalam kajian tersebut juga, bayi didapati memberi respon yang paling aktif apabila disentuh oleh ibu berbanding orang lain termasuklah ayahnya sendiri.
Menurut penyelidik, perbezaan respon anak terhadap usapan ibu dan ayah ini mungkin terjadi kerana wujudnya perbezaan cara mengusap – ibu cenderung mengusap dengan lebih spontan sambil menggerakkan anggota badannya yang lain, manakala si ayah lebih berhati-hati, takut-takut dan mungkin juga terasa janggal melakukannya. Tindakan yang kurang ‘familiar’ ini mungkin menyebabkan bayi bergerak menjauhi permukaan perut ibu.
Penemuan ini cukup membuktikan wujudnya hubungan yang sangat istimewa antara ibu dengan bayi yang dikandungkannya. Patutlah bayi asyik ‘menyorok’ bila si ayah mengusap perut ibu ya?
JADI PAPA KENALAH LEBIH RAJIN USAP PERUT MAMA, YA!
Wah, begitu banyak manfaat yang boleh diperolehi bayi hanya dengan mengusap perut ketika mengandung kan? Jadi, bakal ayah pun ambillah kesempatan ini untuk turut sama ‘bonding’ dengan bayi.
Walaupun ibu mungkin anda belum dapat merasakan tendangan bayi seawal 2-3 bulan pertama kehamilan. Tapi percayalah, bayi di dalam rahim tetap dapat merasakan sentuhan anda!
Sumber: Siraplimau.com