Istighfar merupakan perkataan Arab yang bermaksud memohon ampunan atas segala dosa yang dilakukan oleh kita sebagai seorang hamba Allah swt.Banyak kelbihan istighfar sebenarnya.
Menurut al-Syeikh al-Jurjani dalam kitabnya at-Ta’rifat, istighfar adalah merdekanya kita untuk melakukan segala amal kebaikan dengan sebaik mungkin. Ia juga membawa makna besarnya segala kesalahan dan berpaling daripada melakukan kesalahan tersebut.
Manakala, mengikut ahli kalam, istighfar bermaksud memohon keampunan selepas melihat betapa buruknya maksiat dan berpaling daripadanya. Seorang ulama pernah menyebut istighfar merupakan permohonan untuk melakukan pengislahan (memperbaiki diri ke arah yang lebih baik), yang telah rosak sama ada dengan perkataan atau perbuatan.
Ibn al-Qayyim telah berkata, “Hakikat al-Maghfirah (keampunan) ialah melindungi diri dari kejahatan dosa. Oleh itu setiap yang menutupi kepala dari kesakitan dinamakan sebagai al-Mighfar.”
Malah, istighfar adalah suatu amalan yang diperintah oleh Allah swt kepada hambaNya. Antara perintah Allah:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿10﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا
Maksudnya, “Maka aku katakan kepada mereka: mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat.
Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh, Ayat 10-11)
Ibn Kathir berkata, “Hendaklah kamu kembali kepada Allah swt daripada perlakuan yang tidak baik dengan bertaubat, kerana sesiapa yang bertaubat, pasti Allah menerima taubatnya sekalipun besar dosanya.”
Terdapat sebuah atsar dari Hasan al-Basri yang menunjukkan bagaimana faedah istighfar yang luar biasa.
أَنَّ رَجُلًا شَكَى إِلَيْهِ الْجَدْب فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، وَشَكَى إِلَيْهِ آخَر الْفَقْر فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، وَشَكَى إِلَيْهِ آخَر جَفَاف بُسْتَانه فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، وَشَكَى إِلَيْهِ آخَر عَدَم الْوَلَد فَقَالَ اِسْتَغْفِرْ اللَّه ، ثُمَّ تَلَا عَلَيْهِمْ هَذِهِ الْآيَة
“Sesungguhnya seseorang pernah mengadukan kepada al-Hasan tentang musim kekurangan bahan makanan yang terjadi. Lalu al-Hasan menasihatkan, “Beristigfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah”.
Kemudian orang lain mengadu lagi kepada beliau tentang kemiskinannya. Lalu al-Hasan menasihatkan, “Beristigfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah”.
Kemudian orang lain mengadu lagi kepada beliau tentang kekeringan pada kebunnya. Lalu al-Hasan menasihatkan, “Beristigfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah”.
Kemudian orang lain mengadu lagi kepada beliau kerana masih belum mempunyai zuriat anak. Lalu al-Hasan menasihatkan, “Beristigfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah”.
Kemudian setelah itu al-Hasan al-Basri membacakan surat Nuh di atas. (Riwayat ini disebutkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar di Fathul Bari, 11: 98)
Kelebihan Istighfar
Daripada huraian atsar dari Hasan al-Basri di atas sudah jelas menunjukkan bahawa besarnya hikmah istighfar. Segala apa masalah yang dihadapi oleh kita di atas muka bumi ini, maka beristighfarlah. Antara kelebihan beristighfar seperti yang terdapat dalam dalil al-Quran dan hadis ialah:
#1 Penghapus Dosa
Selaku seorang hamba yang lemah, iman kita sentiasa menaik dan menurun. Dan kita tidak terlepas daripada melakukan dosa sama ada secara sedar mahupun tidak. Oleh itu, menjadi suatu kewajipan kepada kita selaku hamba Allah untuk beristighfar agar diampunkan segala dosa yang pernah kita lakukan kepada Allah swt.
وَمَاۤ اَرۡسَلۡنَا مِنۡ رَّسُوۡلٍ اِلَّا لِـيُـطَاعَ بِاِذۡنِ اللّٰهِ ؕ وَلَوۡ اَنَّهُمۡ اِذْ ظَّلَمُوۡۤا اَنۡفُسَهُمۡ جَآءُوۡكَ فَاسۡتَغۡفَرُوا اللّٰهَ وَاسۡتَغۡفَرَ لَـهُمُ الرَّسُوۡلُ لَوَجَدُوا اللّٰهَ تَوَّابًا رَّحِيۡمًا
Maksudnya, “Dan kami tidak mengutus seseorang Rasul, melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah. Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisa, Ayat 64)
#2 Diberi Kelapangan dan Rezeki
Daripada Ibn Abbas ra, bahawa Nabi saw bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya, “Barangsiapa yang melazimi sentiasa istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (HR Abu Daud)
Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh, hadis ini sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi.
Namun, menurut Syeikh Muhsin al-Abbad al-Badr ketika mensyarahkan hadis ini berkata: “Walaupun hadis ini dhaif dari sudut sanadnya tetapi maknanya terdapat di dalam al-Qur’an ketika membahaskan berkaitan taqwa di dalam surah al-Thalaq 2 hingga 3 (Ayat 1000 Dinar). Selain itu, di dalam al-Quran juga menyatakan bahawa istighfar merupakan sebab mendapat rezeki sebagaimana di dalam surah Nuh ayat ke 10 hingga 12”.
#3 Dimurahkan Rezeki dan Diturunkan Hujan
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (12
Maksudnya, “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh, Ayat 10-12)
Syaikh As Sa’di mengatakan mengenai ayat di atas, “Tinggalkanlah dosa, beristighfarlah pada Allah atas dosa yang kalian perbuat. Sungguh Allah itu Maha Pengampun. Dosa yang begitu banyak akan dimaafkan oleh Allah.
Maka hendaklah mereka segera memohon ampun pada Allah, meraih pahala dan hilanglah musibah. Allah pun akan memberikan kurnia yang disegerakan di dunia dengan istighfar tersebut iaitu akan diturunkan hujan dengan deras dari langit, juga akan dikurniakan harta dan anak yang diharapkan.
Begitu pula akan diberi kurnia kebun dan sungai di antara kelazatan dunia.”
(Taisir Al Karimir Rahman, hal. 889).
#4 Sunnah Nabi saw
Rasulullah saw bersabda,
وَاللَّهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya, “Demi Allah. Sungguh aku selalu beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari 70 kali.” (HR Bukhari)
Nabi saw juga bersabda,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّى أَتُوبُ فِى الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Maksudnya, “Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristigfar) kepada Allah karena aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR Muslim)
Rasulullah saw adalah suri tauladan yang terbaik untuk kita contohi. Mudah-mudahan, amalan sunnah beristighfar yang kita lakukan, bukan sahaja mendapat redha dan keampunan daripada Allah swt, tetapi juga kecintaan daripada Rasulullah saw.
Lafaz Istighfar
Lafaz istighfar paling sempurna adalah seperti yang diajar Nabi saw dalam ‘sayyidul istighfar’. Lafaz istighfar mengajar kita penuh adab dan etika kerana didahului dengan pujian-pujian kepada Allah yang Maha Agung. Selepas memuji Allah secara panjang lebar, barulah kita meminta sesuatu.
Penghulu istighfar adalah seperti mana dalam sabda Nabi saw, “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya, “Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hambaMu.
Aku di atas perjanjianMu dan janjiMu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepadaMu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”.(HR Bukhari)
Sayyidul istighfar adalah lafaz istighfar yang paling sempurna yang diajarkan oleh Nabi saw kepada kita. Namun, jika kita tidak menghafalnya, beristighfar dengan lafaz ‘Astaghfirullah’ juga sudah memadai. Namun, jika kitab oleh mengamalkan sayyidul istighfar juga adalah lebih baik.
Sumber: bidadari.my