Jana Pendapatan Lumayan Dengan Menternak Cacing Dan Jual Baja Kompos

Buat Duit Dengan Ternak Cacing Kompos


Cacing tanah kebiasaannya bewarna merah, merah keperangan, bewarna pucat, atau kehijauan. Struktur cacing tanah adalah berbentuk bulat dan bersegmen. Cacing tanah adalah haiwan pengurai yang paling utama dalam tanah berbanding spesis lain. Ternakan cacing kompos yang popular ketika ini sebenarnya merujuk kepada ternakan cacing tanah. Perusahaan ini dilihat sekarang semakin mendapat tempat di pasaran dan mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada pengusaha.

Terdapat beberapa jenis cacing tanah yang tergolong di dalam kumpulan cacing kompos/pengomposan yang sesuai untuk diternak di Malaysia iaitu Cacing Merah (Red Worm/Lumbricus Rubellus), African Nightcrawlers/Eudrillus Eugeniae, Pheretima Elongata, Cacing Biru (Blue Worm/Perionyx Excavatus) dan Cacing Harimau (Tiger Worm/Eisenia Foetida). Namun begitu, Cacing Harimau (Tiger Worm/Eisenia Foetida) adalah spesis yang paling popular di Malaysia kerana penghasilan baja kompos yang terbaik dan banyak adalah daripada spesis cacing ini.

Ciri-ciri cacing tanah
Cacing tanah mempunyai 5 jantung dengan sistem tertutup dan mempunyai 2 salur darah utama di sepanjang badannya. Cara pemakanan cacing tanah adalah unik. Kaviti mulut cacing tanah adalah bersambung terus hingga ke duburnya tanpa bahagian perantara. Cacing tanah boleh tumbuh semula jika terputus atau mengalami kecederaan pada bahagian segmennya. Namun ianya bergantung juga pada tahap kecederaannya.

Cara menternak cacing
Penternakan cacing tanah boleh dibuat dalam skala kecil hinggalah ke skala besar. Anda boleh bermula secara kecil-kecilan dengan membuat bekas rak kayu mengikut skala yang anda inginkan. Selain rak kayu, anda juga boleh menggunakan bekas atau container plastik yang bertutup sebagai permulaan. Jika anda menggunakan bekas atau container plastik, anda tidak digalakkan untuk meletakkannya di luar rumah atau terdedah kepada kepanasan. Hal ini disebabkan oleh suhu dan kepanasan yang tidak sesuai akan menjejaskan pertumbuhan cacing. Bekas plastik dilihat lebih mudah berkuap atau menjadi panas kerana penguraian organik menghasilkan haba di dalamnya jika diletakkan di tempat yang tidak sesuai. Disebabkan itulah, rak kayu menjadi pilihan utama pengusaha ternakan ini. Kawasan rak kayu yang bertingkat tidak boleh terdedah kepada cahaya dengan kelembapan di sekitar 15-20%. Kawalan kelembapan adalah sangat penting bagi cacing tanah untuk membiak. Rak-rak kayu ini perlu diletakkan di dalam bangsal atau di bawah tempat yang berbumbung untuk mengelak cahaya matahari.

Pembiakan cacing
Seekor cacing tanah mampu mengeluarkan 50 biji telur setiap tahun. Setiap telur itu pula akan menetas menghasilkan sekurang-kurangnya 3 ekor anak cacing. Ini menjadikan jumlah cacing akan bertambah sebanyak 3 kali ganda daripada jumlah asal. Namun, penggandaan ini bergantung kepada jumlah makanan yang diberikan, tahap kesesuaian persekitaran (lembap, sejuk, gelap) dan keluasan plot ternakan.

Makanan untuk cacing
Cacing memakan makanan mengikut berat badannya dalam nisbah (2:1). Ini bermaksud, jika anda mempunyai 10 kg cacing, bermakna anda memerlukan 5kg makanan setiap hari. Jadi untuk tempoh masa sebulan, anda memerlukan lebih kurang 150kg bahan makanan untuk diberikan kepada cacing. Kesemua bahan makanan yang dimakan oleh cacing akan menjadi vermikompos (tahi cacing). Kualiti baja vermikompos ini dipengaruhi oleh jenis makanan yang diberikan kepada cacing. Makanan untuk cacing terdiri daripada sisa makanan (roti yang sudah luput, kulit buah-buahan, sayur-sayuran serta buah-buahan yang telah rosak) dan sisa bukan makanan (daun kering, kertas lama, hampas tebu, batang pisang, jerami padi dan habuk kayu). Bahan-bahan makanan ini perlu dikompos sebelum diberikan kepada cacing dengan menghancurkannya terlebih dahulu sehingga halus.

Pasaran cacing tanah
Pasaran utama cacing tanah adalah untuk dijadikan sebagai baja organik/ vermikompos, yang digunakan secara meluas untuk penanaman kelapa sawit. Vermikompos adalah hasil baja yang dihurai/kompos dari sisa buangan organik dgn menggunakan cacing pengomposan sebagai agen pengompos yang terdiri dari lebih kurang 85% Vermicast dan 15% sisa buangan organik yang telah mengompos.

Baja ini tidak menyebarkan bau, bersih daripada kotoran dan serangga. Baja ini sebenarnya terhasil daripada najis cacing yang terbentuk selepas ia menghuraikan najis haiwan seperti lembu dan kambing. Dalam proses pembuatan baja, sisa kotoran haiwan adalah diperlukan. Kemudian cacing akan ditaburkan di bahagian atas kotoran tersebut dan dibiarkan selama dua minggu. Dalam tempoh itu, akan terjadilah proses pembuatan baja, di mana cacing akan mengubah kotoran yang tadinya berwarna kehijauan menjadi kehitaman. Baja yang sebenarnya adalah kotoran cacing yang berbentuk butiran, berserat dan berwarna kehitaman. Penggunaan baja ini adalah tiga kali ganda lebih baik daripada baja kimia. Penggunaan baja ini akan menjadikan tanah lebih gembur selain dapat meneutralkan asid tanah. Baja vermikompos adalah sejenis baja organik yang mengandungi NPK yang mudah diserap (phyto-soluble) oleh tumbuhan, trace element, mikrob berfaedah (nitro & phoshobactors), asid humic/fulvic, PH neutral, pest repellant semulajadi, penggalak pertumbuhan/buah dan bermacam-macam lagi.

Permintaan baja vermikompos di negara sebenarnya jauh dari mencukupi iaitu mencapai sehingga RM1 Billion. Mengikut harga pasaran, harga baja vermikompos yang berkualiti adalah antara RM4.50 – RM6.00/kg. Pasaran untuk cacing tanah mentah pula adalah di sekitar RM450/kg. Selain itu juga, cacing tanah boleh digunakan untuk menghasilkan bahan atau produk komersial seperti makanan ikan, dan minyak ekstrak cacing – Usahawan.com