Jurina Md Diah Raih Pendapatan RM28,000 Semusim Tanam Timun

Keyakinan sektor pertanian mampu memberi pendapatan lumayan mendorong siswazah ini mengusahakan projek tanaman sayuran menggunakan kaedah sistem fertigasi.

Menerusi bimbingan Jabatan Pertanian Kedah (JPK), Jurina Md Diah, 31, dari Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah, mengusahakan projek pertanian berdaya maju.

Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, kini layak digelar sebagai siswazah tani berjaya.

Pernah memegang jawatan sebagai Pembantu Khas kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya selama enam tahun, keputusan drastiknya terbabit dalam sektor pertanian nyata tidak menghampakan.

Berstatus ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk berusaha.

Dia memulakan projek tanaman lada merah secara fertigasi dengan modal pusingan RM15,000 di atas tanah milik keluarga pada 2012.

“Ternyata apa yang saya rancang menjadi kenyataan, malah harga lada merah di pasaran tempatan ketika itu mencecah RM14 sekilogram.

“Ia membuatkan saya mampu memperoleh pulangan RM28,000 untuk semusim,” katanya.

Jika dulu ramai yang sangsi akan keupayaannya, kini Jurina menarik nafas lega.

“Meskipun ramai memandang sinis akan tindakan saya berhenti kerja ketika itu, kini segalanya berubah.

“Mereka mula sedar betapa untungnya berbudi kepada tanah jika mahu mendapat hasilnya,” katanya.

Dia sedar projek pertanian menggunakan kaedah tanaman moden dan berteknologi banyak membantu petani.

Jurina berkata, hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan korporat dan usahawan tani Bumiputera akan tercapai jika ramai yang mempunyai mentaliti berdikari.

“Jika semua lepasan universiti mengharapkan kerja makan gaji, mereka tidak mampu menandingi kos sara hidup semakin tinggi, terutama yang bekerja di bandar besar,” katanya.

Artikel Berkaitan   Inilah Cara Bertani Yang Betul Mengikut Kalender Islam Supaya Tanaman Membesar Dengan Subur

Kegigihannya mendapat perhatian JPK apabila memilih Jurina untuk menerima bantuan peralatan seperti rumah hujan, setor dan alat pengepam air membabitkan peruntukan kira-kira RM20,000.

Bantuan itu diterima menerusi program pertanian jangka panjang Projek Fertigasi Rakyat (PFR).

Menerusi bimbingan dan khidmat nasihat JPK, Jurina beralih kepada tanaman timun menggunakan kaedah tanaman fertigasi.

Ia di tanam di kawasan khemah berbumbung atau rumah pelindung hujan sebanyak enam unit.

Kebaikannya ialah bagi meningkatkan kesuburan tanaman, sekali gus mampu mengeluarkan hasil berkualiti.

Tidak puas dengan kejayaan tanaman timun dan cili, Jurina memperluaskan projek dengan mengusahakan tanaman sayuran seperti sawi, bayam dan kangkung di kawasan seluas kira-kira satu hektar.

Tapak berkenaan disewa pajak dengan tuan tanah kira-kira 500 meter dari tapak projek pertama.

Ditanya berkenaan pendapatan hasil daripada jualan tanaman sayuran katanya, dia mampu memperoleh pendapatan purata mencecah RM5,000 sebulan.

Dia juga mampu memiliki kenderaan sendiri hasil daripada titik peluhnya sendiri.

“Benar apa yang diuar-uarkan kerajaan Pertanian itu adalah perniagaan’.

“Buktinya, saya kini sudah menikmati ganjarannya,” katanya.

Sementara itu, pembantunya Mohd Suhaimi Yahya, 25, berkata Jurina harus dijadikan contoh kepada belia Melayu.

“Mereka perlu bersikap positif terhadap bidang pertanian dengan menggabungkan ilmu, kepakaran dan teknologi moden berkaitan bidang pertanian.

“Jurina tidak menggunakan khidmat orang tengah, sebaliknya dia sendiri mencari pasaran,” katanya.

Dia juga kagum dengan kegigihan sikap ibu tunggal ini yang mempunyai wawasan dan jati diri tinggi demi masa depannya.

“Tidak mustahil suatu masa nanti, wanita ini akan menjadi usahawan tani berjaya berikutan kegigihannya dalam sektor pertanian,” katanya.

Sumber: Harian Metro