Bagi penanaman sayur, baja yang amat penting adalah baja nitrogen. Daun akan bertambah banyak dan besar apabila dibekalkan dengan unsur nitrogen yangcukup.
Untuk sayur, boleh membeli baja NPK hijau dengan nombor (15:15:15). 15:15:15 itu bukanlah bermaksud nisbah NPK itu 15. Ia melambangkan peratus unsur yang ada di campuran baja itu. Selebihnya adalah bahan lengai.
Ada juga bertanya kenapa tidak dapat 100:100:100? Secara idealnya boleh tetapi realitinya tidak. Campuran bahan kimia bertindak apabila beberapa elemen dicampur bersama. Kerana itu bahan lengai berfungsi mengstabilkan campuran elemen ini agar ia boleh kekal dalam satu campuran.
Bagi sayur, pembajaan boleh dilakukan di awal penanaman sama ada ketika pemindahan anak benih ke atas batas atau ke dalam bekas yang lebih besar.
Kemudian memberi baja sebulan selepas itu. Beberapa persoalan yang selalu timbul apabila melibatkan pembajaan tanaman sayuran.
Apakah kadar pembajaan yang sesuai?
Secara umumnya, satu pokok sayur boleh diberi dengan satu sudu kecil baja (1-5 g).
Berapakah jarak yang sesuai untuk membubuh baja?
Jangan memberi baja dekat dengan batang pokok. Perlu diketahui bahawa baja mempunyai sifat panas. Apabila tersentuh pada pokok, pokok boleh melecur. Jarak yang sesuai adalah di antara 5-7 cm.
Adakah perlu digaul baja ke dalam tanah atau dibiarkan sahaja di atas tanah? Berapa pula kedalamannya?
Lebih elok baja digaul dalam tanah bagi mengelakkan nutrien baja larut lesap di udara dan oleh penyiraman air. Jika di dalam tanah, nutrien boleh terus diserap oleh tanaman. Cukup sekadar menggaulkan baja sehingga tidak kelihatan di atas tanah.
Anda ada soalan tentang pembajaan sayur? Jom komen di bawah. Insya-Allah akan saya jawab.
Sumber: Kebun Bandar