SAYA wanita berusia 34 tahun dan mempunyai tiga anak. Saya menanggung sengsara kerana suami tidak bekerja sejak dua tahun lalu, selain bersikap tidak suka kepada keluarga saya.
Suami pernah bekerja kilang di Puchong dan Shah Alam, Selangor sebelum tinggal bersama saya di Perak.
Katanya, dia mahu mencari kerja berhampiran rumah supaya sentiasa dapat bersama keluarga.
Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, dia belum mendapat pekerjaan, malah semakin malas.
Buat pengetahuan, segala perbelanjaan keluarga saya yang tanggung.
Apa yang saya mahukan daripada suami walaupun tidak bekerja, dia dapat bantu saya mengurus anak-anak serta membuat kerja rumah.
Bagaimanapun, dia langsung tidak membantu. Malah, dia selalu tidur sehingga tengah hari dan pada waktu malam sehingga awal pagi, dia berjaga bermain permainan video.
Suami pernah membangkitkan, jika mahu dia membantu membuat kerja rumah, saya perlu membayarnya RM1,000 setiap bulan.
Mohon pandangan puan mengenai masalah ini. Adakah mudah urusan isteri mendapatkan permohonan cerai seandainya berlaku perkara sebegini?
Isteri kecewa, Ipoh, Perak
Persoalan sama ada ingin bercerai atau tidak, terserah kepada isteri. Ada kalanya keadaan rumah tangga yang dibina tidak lagi wujud fungsinya. Suami yang gagal menjalankan tanggungjawab sentiasa menzalimi serta mengabaikan isteri dan anak-anak. Walaupun hidup dalam keadaan sedemikian, isteri tidak mampu mengambil keputusan untuk bercerai kerana takutkan gelaran janda, bimbang selepas bercerai tidak mampu meneruskan kehidupan atau desakan keluarga supaya bercerai.
Begitu juga, sekiranya suami tidak setuju, bagaimana jika bercerai nanti anak-anak bertanyakan bapa mereka. Tetapi, isteri sebenarnya sudah tidak mampu bertahan dalam keadaan suami bersikap panas baran, tidak memberi nafkah dan suka berfoya-foya. Apabila situasi itu diajukan kepada saya, lazimnya isteri akan dijelaskan mengenai hak dan apa sebenarnya tanggungjawab suami isteri dalam rumah tangga.
Jika berlaku perlanggaran hak, apa yang perlu dilakukan. Sebagai penasihat dan perunding rumah tangga, setiap pelanggan diberikan cadangan untuk memperbaiki keadaan sekiranya matlamat perkahwinan masih boleh diteruskan. Pasangan boleh dibawa menghadiri sesi kaunseling supaya dapat mencari penyelesaian. Namun, jika isteri tidak mampu bertahan dan berhasrat untuk bercerai, isteri akan diberi penjelasan mengenai apa yang patut dilakukan menurut hukum dan undang-undang.
Ada kes isteri terus mengambil tindakan memohon perceraian dan ada juga kes isteri terus berdiam diri kerana tidak berani memohon cerai walaupun mempunyai alasan kukuh selain ingin memberi peluang kepada suami. Maka, semuanya bergantung kepada keputusan isteri. Orang luar daripada perkahwinan termasuk keluarga, pegawai agama, peguam, malah mahkamah sekalipun tidak boleh membuat keputusan bagi pihak isteri. Aduan isteri sahaja tidak boleh menjadi kayu ukur masalah yang dialami kerana mungkin aduan dibuat isteri ketika dalam keadaan tertekan.
Pada hakikatnya, isteri masih sayangkan suami dan mahukan perkahwinan mereka dipertahankan. Dalam persoalan minggu ini, isteri sudah dua tahun menyara diri dan anak-anak sendirian. Sudahlah tidak mendapat nafkah, isteri juga perlu membayar upah kepada suami sekiranya mahu suami membantu melakukan kerja mengurus anak-anak dan kerja rumah. Jika mampu mengupah pembantu, sewajarnya berbuat demikian. Jika tidak mampu, isteri yang melakukan kerja perlu dibayar upah melainkan isteri meredai dan menghalalkannya.
Allah SWT berfirman dalam surah at-Talaq, ayat 7 yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak meletakkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.” Kewajipan memberi nafkah yang diperintahkan Allah SWT kepada suami adalah dalam menyediakan keperluan yang mampu disediakan dari segi tempat tinggal, makan minum, pakaian, kebajikan, keselamatan serta lain-lain keperluan asas untuk hidup kepada isteri dan anak-anaknya.
Suami yang gagal menyediakan nafkah sedemikian sebenarnya menzalimi isteri dan anak-anak malah ia dihitung sebagai dosa yang akan dihakimi di akhirat. Bagi isteri, jika masih boleh reda dan bertahan, maka perlu mencari penyelesaian sama ada secara kaunseling dan menasihati suami. Jika tidak mampu lagi bertahan dan merasa diri teraniaya, maka isteri boleh memohon cerai di mahkamah dengan alasan ketiadaan nafkah dari suaminya.
Penulis ialah peguam syarie