Kenali Makhluk Yang Akan Muncul Daripada Gunung Ini Ya’jud Dan Ma’jud, Membuat Kerosakan Di Dunia

Tidak dapat dinafikan kisah berkait dengan Ya’juj dan Ma’juj mampu membawa kesan yang sangat mendalam dalam kehidupan orang Islam, berikutan kisahnya yang memukau serta mampu menggerunkan hati sesiapa yang mendengarnya.


Walaupun begitu, kisah ini juga mempunyai banyak elemen yang tidak dapat dipastikan kebenarannya serta mungkin juga sudah bercampur baur dengan tokok tambah manusia, mungkin atas niat jahat atau sekadar nak menyedapkan cerita.

Penulis pun sebenarnya sudah lama ingin mendapat penjelasan berkenaan isu ini jadi di sini penulis ingin merumuskan serba sedikit perkongsian Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini, agar dapat membuka jalan kepada pembaca semua supaya lebih memahami apa intipati sebenar kisah ini – berdasarkan pandangan seorang mufti.

Apakah makna Ya’juj dan Ma’juj

Wujud khilaf berkenaan cara tafsiran atau pemahaman berkenaan istilah ini, berdasarkan kepada cara kita membacanya.

Ada percanggahan yang jelas dikalangan ulama’ tentang bentuk sebenar Ya’juj dan Ma’juj ini, sama ada mewakili sesuatu kaum atau sesuatu elemen yang tidak dapat ditahan – bergantung kepada pemahamannya sama ada sebagai kata ganti nama atau bukan.

Bagaimanapun, majoriti ulama’ berpendapat istilah Ya’juj dan Ma’jud merupakan istilah yang mewakili satu kelompok dua kabilah yang telah wujud, sebelum orang Arab lagi.

Keluarnya Ya’juj dan Ma’juj

Ya’juj berasal daripada perkataan ‘ujaj’ yang bererti ‘kering sebelum keras’ atau boleh sekumpulanjuga ditafsirkan sebagai ‘musuh yang datang dengan terlalu pantas’. Sementara Ma’juj pula datang daripada kata akar ‘maa’ja’ yang membawa maksud menggoncangkan.

Nama kedua-duanya disebutkan dalam surah al-Kahfi ayat ke 94 yang menceritakan berkenaan penemuan sebuah kaum yang tidak mampu berbicara. Kisah Ya’juj dan Ma’juj dalam surah al-Kahfi harus diambil sebagai peringatan terhadap sesuatu yang telah berlaku.

Manakala kisah itu disambung semula dalam surah al-Anbiya’ menceritakan tentang nasib kumpulan ini di masa akan datang yang belum berlaku, di mana mereka akan turun beramai-ramai dari kawasan yang tinggi selepas tembok yang menghalang mereka runtuh.

Ada dua pandangan berkenaan kemunculan Ya’juj dan Ma’juj ini; ada ulama’ berpendapat mereka hanya akan keluar sekali sahaja sebelum tibanya hari kiamat dan ada yang berpendapat Ya’juj dan Ma’juj telah pun muncul beberapa kali, sebelum membawa kehancuran terbesar tatkala kiamat hampir.

Kedua-dua kumpulan ini datang daripada dua suku yang berbeza namun mempunyai keturunan yang sama, daripada anak Nabi Nuh as. bernama Yafis.

Sifat dan karakter Ya’juj dan Ma’juj

Berdasarkan hadis Rasulullah saw. yang sahih, Ya’juj dan Ma’juj digambarkan sebagai bangsa yang kuat sehinggakan manusia sendiri tidak mampu memerangi mereka. Muka mereka lebar namun mata mereka agak kecil. Mereka akan datang dalam jumlah yang cukup ramai, 10 kali ganda melebihi jumlah manusia serta mempunyai umur yang panjang.

Apa yang diketahui, Ya’juj dan Ma’juj tidak berpakaian serta tidak mempunyai kediaman. Sebaliknya, mereka hanya tinggal dalam tanah yang dikorek dan hanya keluar pada waktu malam bagi mencari makanan. Kehidupan mereka dalam keadaan sangat primitif.

Kerosakan Ya’juj dan Ma’juj

Terdapat banyak pendapat ulama’ terdahulu tentang perbuatan atau perkara yang akan dilakukan Ya’juj dan Ma’juj setelah bebas daripada kurungan mereka selama ini.

Majoritinya menyebut Ya’juj dan Ma’juj akan keluar melakukan pembunuhan terhadap manusia serta melakukan bermacam jenis kerosakan di muka bumi.

Bergerak seperti binatang yang merangkak, Ya’juj dan Ma’juj akan menerkam mangsa mereka dengan cara liar dan ganas tanpa mempedulikan apa saja sekalipun.

Di mana Ya’juj dan Ma’juj ketika ini?

Terdapat beberapa pendapat berkenaan tempat di mana kaum Ya’juj dan Ma’juj ini dikurung. Walau bagaimanapun, pendapat paling disokong oleh penyelidik serta ulama’ adalah lokasi tembok yang menghalang dua kumpulan perosak ini terletak di pergunungan Qauqaz, di kawasan yang di antara negara Turki dan Rusia,  bernamDaghestan.

Terdapat sebuah gaung sepanjang 220 km yang kini menghubungkan Vadikavkaz di Rusia dan Tbilisi di Georgia, mempunyai ciri-ciri yang paling dekat dengan apa yang digambarkan dalam kisah Zulkarnain dan dindingnya, dalam al-Quran.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan serta penelitian bentuk muka bumi kawasan tersebut, Ya’juj dan Ma’juj dipercayai dikurung di sekitar kawasan itu – kini digelarkan sebagai Gaung Darial atau Darial Gorge.

Sekiranya anda ingin membaca dengan lebih mendalam, anda boleh buka pautan asal yang dikongsikan di atas yang menerangkan secara terperinci hujah dan dalil berkenaan isu popular ini. Apa yang penting, asasnya adalah jangan sama sekali menidakkan kebenaran wujudnya dua kaum perosak ini – kerana mereka memang benar-benar ada.

Bukan mitos tetapi satu ancaman manusia yang nyata.