Kencing Berdiri Boleh Melemahkan Syahwat Lelaki, Subhanallah! Hadis Nabi Kepada Orang Yang Kencing Berdiri Selari Dengan Sains

AMALAN membuang air kecil berdiri dan duduk menjadi topik perbincangan hangat sejak tandas moden diperkenalkan pada abad ke-19.


Ini kerana semakin ramai lelaki memilih amalan kencing berdiri yang dianggap lebih mudah dan cepat tanpa perlu menanggalkan seluar bagi melepaskan hajat.

Ditambah pula semakin banyak mangkuk kencing berdiri disediakan di tandas awam dan ia menjadi pilihan pertama lelaki untuk membuang air kecil.

Di kebanyakan negara barat, posisi kencing berdiri adalah perkara biasa.

Berbeza di negara timur dan Asia, lelaki membuang air kecil dengan cara duduk serta mencangkung.

Kajian pengamal perubatan di Ayurveda Medical menjelaskan bahawa membuang air kecil secara berdiri adalah amalan tidak baik kerana boleh menjejaskan kesihatan lelaki.

Ketua Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital-Cheras Dr Mohd Fadhli Mohd Yusof berkata, keburukan membuang air kecil secara berdiri dapat dilihat daripada aspek kebersihan.

BOLEH melemahkan syahwat lelaki.

“Membuang air kecil dalam posisi berdiri boleh meningkatkan halaju air kencing yang ketara.

“Ini menyebabkan individu terbabit lebih mudah terkena percikan air kencing yang akan mengotorkan tubuh dan pakaian.

“Malah, tandas turut kotor dengan percikan air kencing berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, daripada aspek kesihatan, kebanyakan mangkuk kencing tidak dilengkapi dengan punca air untuk tujuan mencuci kemaluan menyebabkan ramai tidak atau jarang mencuci kemaluan dengan bersih selepas membuang air kecil secara berdiri.

“Kemaluan yang tidak dicuci dengan bersih akan meningkatkan risiko jangkitan di kawasan kemaluan seperti kandidiasis (jangkitan fungus) dan balanitis (jangkitan pada bahagian kepala zakar),” katanya.

Menurutnya, posisi paling sesuai bagi lelaki membuang air kecil ialah duduk atau mencangkung.

“Pada kedudukan ini kedua-dua tapak kaki mencecah lantai, badan membongkok sedikit ke hadapan dan lutut dalam keadaan bengkok.

“Selain itu, dalam posisi ini, otot bahagian bawah abdomen, otot pelvis dan otot belakang badan berada dalam keadaan rehat yang maksimum,” katanya.

Sekumpulan penyelidik di Leiden University Medical Center, Belanda mendedahkan lelaki yang membuang air kecil secara mencangkung dapat mengosongkan pundi kencing mereka sepenuhnya.

Jelasnya, manakala membuang air dalam keadaan berdiri, otot pelvis berada dalam keadaan tegang dan ia menyukarkan air kencing keluar sepenuhnya.

Dr Mohd Fadhli berkata, setakat ini tiada kajian menunjukkan amalan membuang air secara duduk lebih baik berbanding berdiri bagi seorang lelaki sihat.

“Namun, bagi pesakit yang mengalami masalah gejala saluran kencing yang lebih rendah (LUTS) seperti pembengkakan kelenjar prostat, membuang air kecil dalam posisi duduk terbukti lebih baik daripada berdiri.

“Ini kerana, pada posisi duduk, otot-otot pelvis berada dalam keadaan rehat yang memudahkan pengeluaran air kencing dan sisa air kencing tidak tertinggal dalam pundi kencing,” katanya.

Menurut beliau, air kencing yang tertinggal dalam pundi kencing akan meningkatkan risiko mendapat jangkitan pundi kencing dan masalah batu karang bagi pesakit LUTS.