
HANYA menggunakan bot pancung, satu sindiket penyeludupan manusia di negara ini dikesan mengaut keuntungan RM30,000 bagi setiap perjalanan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).
Bagaimanapun, sindiket yang aktif menyeludup PATI menggunakan perairan negara sejak beberapa bulan lalu berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket itu juga bersekongkol dengan warga tempatan bagi membawa masuk PATI yang kemudian ditempatkan untuk bekerja di sektor perkilangan selain bekerja sebagai pembantu rumah.
Katanya, menerusi risikan selama dua bulan, JIM menerusi Unit Operasi Khas (UOK) dan Pasukan taktikal Khas (PASTAK) kemudian menyerbu dua lokasi di Pasir Panjang, Sekinchan dan Shah Alam dalam operasi khas bermula 3.45 pagi.
“Dalam serbuan di Pasir Panjang, JIM menahan 21 warga asing membabitkan 14 lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak perempuan warga Indonesia selain seorang lelaki tempatan.
“Susulan itu, JIM kemudian menyerbu sebuah restoran dan sebuah pangsapuri di Seksyen 27, Shah Alam dan menahan 12 warga asing membabitkan tujuh lelaki serta dua wanita Indonesia, seorang lelaki dan dua wanita Thailand,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua lokasi itu dijadikan rumah transit bagi menyembunyikan PATI yang akan diseludup masuk atau keluar.
Katanya, PATI berkenaan kemudian diseludup masuk dalam satu bot pancung yang memuatkan sehingga 30 orang secara berhimpit.
“Kesemua PATI berkenaan perlu membayar kira-kira RM1,000 seorang bagi urusan penyeludupan dan sindiket itu memperoleh kira-kira RM30,000 bagi setiap perjalanan.
“Apa yang membimbangkan adalah, ada PATI berkenaan turut membawa anak-anak kecil sama ada untuk menyeludup masuk atau keluar di negara ini,” katanya.
Menurutnya lagi, semua PATI berkenaan kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 26 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.