“Kita Tidak Jadi Siapa Yang Kita Jadi Hari Ini Tanpa Insan Bernama Guru.” Tidak Menyangka Guru Disuruh Merangkak, Dr Maszlee Bersuara

KUALA LUMPUR, 26 Feb — Bekas menteri pendidikan berasa kesal atas kejadian menimpa seorang guru yang dipaksa merangkak oleh ibu murid.


Sebagai individu yang pernah dekat dengan mereka, Maszlee Malik berkata perkara itu sangat “menyedihkan”.

“Sehingga pada awalnya saya tidak percaya, adakah ini ‘fake news?’ Apakah yang terjadi dengan masyarakat kita hari ini?,” soalnya di Twitter.

“Guru ialah seorang insan yang tinggi martabatnya. Kita tidak jadi siapa yang kita jadi hari ini tanpa insan bernama guru.”

Menganggap tidak sepatut berlaku pada era 2020, beliau memohon semua guru agar bersabar.

Termasuk menyarankan ibu bapa mengambil masa merenung dan berfikir semula atas kejadian tersebut.

“Isu ini harus kita tangani dalam keadaan berhemah, mengambil kira tingginya martabat seorang guru dan adab sopan santun yang telah kita amalkan sejak dulu sebagai norma masyarakat,” tulisnya.

“Tidak rugi jika kita mengambil sedikit masa merenung dan bersabar. Kerana di akhirnya, apa jua tindakan kita seharusnya adalah untuk satu tujuan iaitu mendidik anak-anak kita agar menjadi manusia yang bermanfaat di masa hadapan.”

Terdahulu tular sebuah video yang dipercayai dirakam ibu kepada seorang murid, memaksa guru malang merangkak mengelilingi bilik darjah.

Perbuatan itu dibuat ekoran anaknya sehari sebelum itu yang disuruh berbuat demikian oleh guru terbabit.