Kos Perubatan RM19,713 Jadi RM0 Kerana Lelaki Ini Sering Lakukan Perkara Ini Sebelum Ini

“IA berlaku pada 15 Januari 2018 tapi saya gembira kisah itu tular semula demi kesedaran ramai,” kata Noorshafry Abdul Malik, 48, yang tidak membayar satu sen pun bil rawatan pembedahan kerana banyak kali menderma darah.


Menceritakan kembali, pengusaha katering itu berkata, dia mulanya terkejut kerana mendapati bil rawatannya berjumlah RM19,713 selepas menjalani tujuh kali pembedahan dan kaki kiri terpaksa dipotong kerana diabetes.

Menurutnya, dia ditahan di wad selama 35 hari dan dimaklumkan isterinya, Sharifah Radziah Mat, 32, mengenai jumlah bayaran itu selepas ke Unit Hasil Hospital Serdang.

Dia berkata, dia kemudiannya ke unit berkenaan untuk meminta diskaun menggunakan kerusi roda.

“Pada mulanya mereka memaklumkan jumlah yang perlu dibayar itu sudah disertai dengan diskaun. Walaupun agak hampa ketika itu, namun saya teringat pada halaman belakang buku merah rekod derma darah.

“Saya rujuk buku berkenaan sebelum menyerahkan kepada kakitangan unit berkenaan. Selepas itu, dia mencetak resit baru dengan jumlah bayaran RM0.

“Saya turun dari kerusi roda dan membuat sujud syukur berikutan terlalu gembira,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Bistari 7, Kampung Seri Aman Luar, Puchong, hari ini.

Pada helaian belakang buku itu, Noorshafry layak mendapat rawatan percuma pesakit luar, rawatan perubatan dan wad kelas kedua untuk tempoh tiga tahun berikutan sudah menderma darah sebanyak 22 kali.

Noorshafry yang memiliki darah jenis O+ berkata, dia mula menderma darah sejak 2004 ketika kilang tempat dia bekerja dulu di Bukit Ibam, Muadzam Shah, Pahang menganjurkan program itu.

“Pada mulanya, saya hanya berminat berikutan mereka akan menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma setiap kali menderma darah.

“Namun, selepas kerap mendermakan darah, saya merasakan ini adalah tanggungjawab kepada orang yang memerlukan,” katanya.

Susulan itu, dia kini bergiat aktif menceritakan kebaikan serta kelebihan derma darah kepada mereka yang layak.

“Apabila bertemu dengan orang baru, saya akan menceritakan kebaikan menderma darah.

“Selain itu, saya turut menggesa kelab motosikal dan kereta menjemput Pusat Darah Negara dalam setiap aktiviti yang mereka buat.

“Jika dulu, saya membantu orang yang memerlukan darah, namun tidak pernah terlintas ia membantu saya melunaskan bil hospital,” katanya.

Kisah Noorshafry tular di media sosial kerana dia tidak perlu membayar rawatan kos perubatan selepas menjalani pembedahan tujuh kali berikutan sudah menderma darah sebanyak 22 kali.

Terdahulu, Noorshafry pernah muncul di muka depan Harian Metro pada 31 Ogos lalu, berkenaan kisahnya yang bermodalkan RM16 untuk membuat kaki palsu rekaan sendiri menggunakan paip polyvinyl chloride (PVC).

Ia demi meneruskan kelangsungan hidup mencari rezeki selepas kaki kirinya dipotong akibat kencing manis.