“Kumaresan Beritahu Perkara Ini Dan Nak Masuk Islam” YB Terkejut Lelaki Ingin Tukar Agama Semasa Agih Bantuan

KLANG – Di sebalik kesibukan mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Taman Daya di sini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mendakwa terkejut didatangi seorang lelaki yang meminta untuk memeluk Islam lewat malam tadi.

Menginsafi hidayah ALLAH SWT itu, Mohd Fakhrulrazi berkata, beliau terus mengajar lelaki tersebut mengucap dua kalimah syahadah di hadapan beberapa ahli keluarga lelaki tersebut.

Menurutnya Mohd Fakhrulrazi, beliau turut memberi penerangan mengenai agama Islam sebelum mengajar lelaki tersebut mengucap dua kalimah syahadah.

“Saya didatangi Kumaresan lebih kurang jam 11 malam ketika sedang mengagihkan bantuan makanan kepada beberapa mangsa banjir kilat semalam.

“Kumaresan juga ada bertanya beberapa perkara dan memberitahu dia sudah lama ingin memeluk Islam selepas tertarik dengan agama ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Rakaman video Mohd Fakhrulrazi mengajar lelaki tersebut mengucap dua kalimah syahadah itu terus tular di media sosial.

Rakaman video berdurasi 2 minit 16 saat itu menunjukkan Mohd Fakrulrazi bertemu Kumaresan di hadapan rumah lelaki itu.

Selepas memberi penerangan, Kumaresan kemudian dirakam mengucap dua kalimah syahadah.

Mohd Fakrulrazi kemudian dilihat memeluk lelaki tersebut sebelum mencium dahinya sebagai tanda kesyukuran.

Mohd Fakrulrazi memberitahu, beliau akan mengambil tindakan susulan membawa lelaki tersebut ke pejabat agama berhampiran untuk proses selanjutnya.

“Saya dimaklumkan ada beberapa ahli keluarga Kumaresan sudah memeluk Islam sebelum ini.

“Tak terkata rasa gembira dapat Islamkan seorang hamba ALLAH semalam. Semoga saudara Kumaresan dipermudahkan segala urusan dan menjadi Muslim yang bertakwa,” katanya.