“Luluh Hati Ini Apabila Diberitahu Mengenai Kemungkinan Itu, ‘Cepatlah Sembuh Anakku Iman…’

MUHAMMAD Iman Al-Khausar Ismail dilahirkan normal, namun insiden terhantuk kepala di kerusi mengubah nasib kanak-kanak itu yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, sejak dua minggu lalu.


Kisah Muhammad Iman, 2, mendapat perhatian warganet dengan rata-ratanya meluahkan rasa simpati selepas membaca luahan ibunya, Nursalsabila Kamarurulzaman, 28 , yang berkongsi cerita sebenar di Facebook, baru-baru ini.

Nursalsabila berkata, Muhammad Iman terjatuh sebelum kepalanya terhantuk ketika bermain di rumah pada 17 September lalu dan insiden itu menyebabkan kepalanya benjol.

Katanya, keesokan harinya, dia dan suami, Ismail Mohd, 31, membawa Muhammad Iman ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut dan hasil ujian imbasan X-ray mendapati tiada kecederaan serius dialami kanak-kanak berkenaan.

“Mulanya saya rasa agak lega kerana tiada kecederaan serius atau keretakan dikesan, sebaliknya hanya benjolan pada bahagian kepalanya.

“Namun, kelegaan itu hanya sementara kerana Iman demam seminggu kemudian dan saya membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut selepas melihat keadaan demam masih sama.

“Hasil pemeriksaan CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer) mendapati terdapat ketumbuhan pada bahagian hadapan kepala dan belakang bola mata Iman yang terjadi disebabkan kelenjar aktif serta jangkitan kuman pada darah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nursalsabila berkata, buat masa ini, dia dan suami masih menunggu hasil keputusan ujian terhadap sum sum tulang belakang anaknya dan berharap perkhabaran diterima nanti tidak mengecewakan.

“Semalam, doktor sudah mengambil sum sum tulang belakang Iman untuk mengenalpasti penyakit dialaminya dan pada awalnya, saya diberitahu ada kemungkinan Iman mengalami barah darah dan leukemia.

“Luluh hati ini apabila diberitahu mengenai kemungkinan itu, tetapi perasaan saya kembali lega selepas doktor mengesahkan Iman bebas kedua-dua penyakit berkenaan pagi tadi.

“Cuma kini kami perlu menunggu keputusan lengkap ujian yang dijangka diketahui beberapa hari lagi.

“Kiranya, doktor belum memberitahu tarikh pembedahan atau prosedur rawatan seterusnya secara terperinci cuma saya sedih melihat kepala Iman semakin membengkak dari hari ke hari memandangkan usianya masih kecil untuk menanggung kesakitan itu,” katanya yang menetap di Kampung Tok Haron, Manir, Kuala Terengganu.

Nursalsabila berkata, dia bersedia dengan kemungkinan akan berlaku dan berusaha untuk memastikan anak tunggalnya itu kembali sihat seperti sedia kala, walaupun perlu mencari wang seandainya kos pembedahan atau rawatan tidak ditanggung sepenuhnya.

Katanya, selain suami, dia mendapat kekuatan daripada keluarga dan orang ramai yang tidak henti memberi kata semangat dan mendoakan walaupun hanya mengetahui kisah anaknya itu di laman sosial.

“Sebenarnya, saya hanya berkongsi kisah itu di Facebook peribadi, tetapi ia jadi tular selepas ada saudara mara menyebarkannya di ruangan lain.

“Terima kasih kepada semua yang prihatin dan maaf sekiranya saya tidak dapat membalas semua kiriman mesej dihantar.

“Namun jauh di sudut hati, saya terharu dengan sokongan serta sumbangan diberikan walaupun rata-ratanya tidak mengenali kami dengan rapat.

“Diharap, Iman kuat dan kembali sihat seperti dulu kerana saya rindu melihat gelagatnya yang petah bercakap serta menceriakan kami sekeluarga,” katanya.