Mampu Merawat 36 Jenis Kanser, Datuk Husam Beri ‘Hint’ Akan Buat Kajian Mengenai Manfaat Ganja Untuk Perubatan

Husam sedia bentang teknologi ganja kesihatan

Husam sedia membentangkan maklumat dan teknologi berkenaan spesies marijuana atau ganja kesihatan yang tidak menimbulkan ketagihan. – NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KOTA BHARU: Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa sedia membentangkan maklumat dan teknologi berkenaan spesies marijuana atau ganja kesihatan yang tidak menimbulkan ketagihan, sekiranya ada pihak berani membuat kajian mengenai kelebihan tumbuhan itu.

Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata spesies ganja itu berbeza dengan tumbuhan sama seperti diperkatakan orang ramai untuk tujuan perubatan yang menimbulkan ketagihan.

Beliau berkata, kajian itu mungkin akan memakan sedikit masa oleh pihak berwajib dan seterusnya memajukannya tanpa syak wasangka.

“Spesies marijuana ini tidak menimbulkan ketagihan dan secara semula jadi mampu memberi kesihatan kepada manusia tanpa ketagihan.

“Namun begitu, terdapat juga marijuana yang mempunyai unsur kesihatan tapi menimbulkan ketagihan, namun ia sedikit sebanyak tentunya akan menimbulkan ancaman keselamatan sekiranya tumbuhan ini ditanam secara bebas di negara kita.

“Buat masa ini, saya belum memaklumkan lagi kepada Kementerian Kesihatan kerana sekarang dalam proses masyarakat berbincang secara terbuka namun apa yang dibincangkan, saya yakin mereka tiada teknologi seperti saya sebutkan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Husam sebelum ini dilaporkan berkata cadangan penggunaan ganja kesihatan bagi tujuan perubatan, jika dapat direalisasikan, bakal meletakkan Malaysia terkehadapan dalam bidang perubatan memandangkan tumbuhan berkenaan mempunyai banyak kelebihan termasuk 36 elemen dalam perubatan kanser.

Sementara itu, mengenai sempadan, Husam berkata, beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) canggih di kawasan sempadan seperti negara lain bagi mengekang penyeludupan terutama dadah dari negara jiran.

“CCTV dipasang oleh badan keselamatan seperti Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM), polis serta tentera dan ia diletakkan sepanjang sempadan. Satu ‘command control’ yang berpusat dapat diwujudkan bagi memantau semua imej yang merentasi sempadan

“Pada masa sama, kawalan di pintu masuk di sempadan juga perlu diperketatkan. CCTV juga boleh dipasang di kawasan laluan masuk lori yang membawa barangan dari Thailand supaya dapat dipantau dengan teknologi moden itu,” katanya – Berita Harian

(Visited 56 times, 1 visits today)