CHANGHUA, Taiwan – Seekor siput aneh dirakam mempunyai ‘tanduk’ hijau dan oren di kawasan hutan sebuah bukit dekat sini awal bulan ini, mengejutkan seorang pendaki yang melihatnya.
Pelancong tersebut, Lin Ruian berkata, dia menyedari kehadiran siput itu kerana ia seakan-akan mempunyai ‘cahaya bersinar’ di dalam badannya. Pakar biologi sebelum ini mendedahkan siput sedemikian umpama ‘zombi’ selepas deria motor badannya diceroboh cacing pipih parasit.
“Siput itu tampak seperti mempunyai lampu neon pelbagai warna dalam badannya. Saya tidak tahu apa puncanya tetapi ia sangat pelik. Saya mencucuk siput itu dengan kayu dan ia hanya jatuh bergolek,” kata Ruian.
Parasit jenis Leucochloridium paradoxum itu kerap menggunakan siput sebagai hos untuk membiak dengan menceroboh masuk bahagian matanya dan menghasilkan corak warna-warni untuk meniru rupa ulat beluncas.
Tujuan sebenar parasit tersebut adalah untuk menarik perhatian burung untuk memakan siput berkenaan, seterusnya membolehkannya masuk ke dalam saluran penghadaman burung dan membiak di dalamnya.
Anak parasit itu kemudiannya keluar dari badan burung menerusi najisnya dan kitaran tersebut akan berulang kembali. Leucochloridium paradoxum telah lama wujud tetapi hanya disahkan dalam siput oleh pakar biologi, Tomasz Wesolowski dari Universiti Wroclaw di Poland pada 2013.
Wesolowski membuktikan kewujudan serta motif parasit itu menghuni siput. Parasit itu juga hanya membiak menggunakan spesies siput tertentu, dengan sasaran utamanya adalah siput jenis amber yang juga dikenali sebagai Succinea. – Agensi