SEEKOR buaya ditemui di Ladang Felcra Tanjung Assam, Betong, hari ini, dipercayai tersesat.
Reptilia sepanjang kira-kira tiga meter itu disedari berada di ladang kelapa sawit berkenaan sejak dua hari lalu.
Pekerja ladang yang bimbang keselamatan mereka bertindak menghubungi pasukan keselamatan memohon bantuan menangkap reptilia itu.
Ini kerana, buaya itu dikhuatiri bertindak agresif selepas gagal mencari jalan untuk balik ke sungai.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pekerja terbabit pada jam 9.59 pagi tadi.
Beliau berkata, sepasukan tiga anggota bergegas ke lokasi, sebaik menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi pada 10.31 pagi, anggota kami menemui buaya itu di jarak kira-kira 500 meter dari tebing sungai.
“Anggota kemudiannya menangkap buaya itu dan membawanya balik untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, buaya jenis jelulung itu dipercayai kelaparan selepas tersesat di dalam ladang berkenaan.