Pembuat Dasar Kesalahan Zina Disebat Di Khalayak Ramai Kerana Berzina Dengan Isteri Orang

ACHEH: Seorang pemimpin agama Indonesia yang membantu merangka undang-undang syariah berkenaan anti-zina dirotan di khalayak umum selepas didapati bersalah menjalinkan hubungan sulit.


Lelaki berkenaan, Mukhlis Muhammad, 46, merupakan ahli Majlis Ulama Aceh (MPU) yang merangka pelaksanaan undang-undang syariah Islam di negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam dunia itu.

Mukhlis disebat di khalayak umum setelah dia disabitkan kesalahan melakukan hubungan seks dengan seorang wanita yang sudah menikah.

Dia dikenakan hukuman sebat sebanyak 28 kali, manakala pasangan zinanya dikenakan sebatan sebanyak 23 kali pada Jumaat.

Lapor BBC, kedua-dua mereka dicekup beberapa orang pegawai ketika sedang melakukan kegiatan maksiat itu di dalam sebuah kereta yang diparkir berhampiran sebuah pantai pelancongan.

Beliau adalah pemimpin agama pertama yang menerima hukuman itu setelah undang-undang Islam ketat diperkenalkan di rantau Aceh pada tahun 2005.

Selain zina, mereka yang terlibat dalam hubungan sejenis dan perjudian juga boleh dikenakan sebatan.

“Ini adalah undang-undang Islam. Sesiapa harus dihukum jika didapati bersalah walaupun dia adalah anggota MPU,” kata Timbalan Datuk Bandar Aceh Besar, Husaini Wahab.

“Banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada kejadian ini tetapi akhirnya kita perlu melaksanakan undang-undang Tuhan, terutamanya di tanah Islam seperti di sini,” kata seorang penduduk Bandar Aceh, Muhammad Ramdan.

Hukuman rotan menjadi kebiasaan di Acheh dan ia dilaksanakan di kawasan terbuka sebagai kesedaran orang ramai.

Bagaimanapun, kanak-kanak tidak dibenarkan menyaksikan hukuman itu.