Petua Bagi Ibubapa, Takut Nak Pegang Bayi Sebab Lembik, 5 Perkara Yang Perlu Ambil Tahu Tentang Ubun-Ubun Bayi

Perasan tak, kepala bayi baru lahir ada satu bahagian yang sangat lembut. Bahagian inilah yang digelar ubun-ubun atau fontanelle. Memang rasa takut nak pegang sebab rasa macam fragile sangat, kan?


Sebenarnya ubun-ubun ini juga boleh memberi petanda kepada kesihatan bayi. Jadi, bagaimanakah ubun-ubun ini terbentuk dan bilakah ia akan tertutup? Mari ketahui beberapa perkara tentang ubun-ubun bayi.

5 Perkara Yang Ibu Bapa Kena Tahu Tentang Ubun-ubun Bayi

1. Fungsi Ubun-ubun Bayi

Ubun-ubun atau fontanelle adalah celah lembut antara tengkorak bayi. Ia terbentuk apabila tulang kepala bayi masih lembut dan dalam proses untuk bercantum.

Pernahkah kita terfikir kenapa bayi mempunyai ubun-ubun? Ini kerana kepala adalah bahagian tubuh bayi yang paling besar. Oleh itu, tengkorak yang lembut dan tidak bercantum sepenuhnya dapat membantu memberi ruang agar kepala bayi lebih fleksibel dan dapat melalui salur lahir dengan mudah.

2. Terdapat 2 Ubun-ubun Pada Kepala Bayi

Mungkin kita hanya perasan ubun-ubun yang terletak di bahagian atas kepala berdekatan dahi bayi. Ini kerana saiznya lebih besar dan mudah untuk dilihat dan dirasa. Ia digelar fontanelle anterior dan berbentuk layang-layang seperti gambar rajah di bawah.

Sebenarnya terdapat satu lagi ubun-ubun kecil di bahagian belakang kepala bayi yang digelar fontanelle posterior. Ia berbentuk tiga segi dan anda hanya akan dapat merasakannya apabila anda meraba kepala bayi dengan teliti.

3. Bilakah Ubun-ubun Akan Tertutup?

Ubun-ubun akan tertutup sendirinya dan bercantum apabila bayi semakin besar. Umumnya, ubun-ubun kecil atau posterior fontanelle yang terletak di belakang kepala bayi akan tertutup seawal 6 minggu kelahirannya. Manakala, ubun-ubun besar atau anterior fontanelle pula lebih lambat tertutup, iaitu sekitar usia bayi 18 bulan.

4. Ubun-ubun Yang Normal

Kalau Mama dan Papa perasan, bayi yang sedang menangis mungkin akan menampakkan rupabentuk ubun-ubun yang sedikit timbul. Selagi ianya kembali ke bentuk normal apabila bayi bertenang, anda tak perlu panik. Ubun-ubun ini juga selalunya akan berdenyut seperti mana detak jantung bayi. Ini juga normal kerana adanya pembuluh darah yang berdenyut pada bahagian kepala bayi.

5. Apa Yang Perlu Diperhatikan

Apa yang Mama dan Papa perlu beri perhatian adalah sekiranya ia kelihatan tidak normal walaupun bayi dalam keadaan biasa. Beberapa masalah termasuklah:

  1. i) Ubun-ubun Terlalu Mendap / Timbul

Menurut BabyCenter, ubun-ubun yang terlalu mendap mungkin menunjukkan bayi mengalami dehidrasi, manakala ubun-ubun yang terlalu timbul boleh menjadi simptom meningitis.

  1. ii) Ubun-ubun Terlalu Besar

Ubun-ubun yang terlalu besar dan tidak tertutup dalam jangka masa yang normal mungkin petanda kondisi tertentu seperti hypothyroidism, sindrom Down atau riket.

iii) Ubun-ubun Terlalu Cepat Tertutup

Perkara ini jarang berlaku. Namun kes begini boleh menimbulkan masalah craniosynostosis, di mana ia akan mempengaruhi perkembangan otak serta bentuk kepala bayi.

Tak Perlu Takut Pegang Bayi Asalkan Berhati-hati

Ibu bapa yang pertama kali mendukung bayi mungkin akan berasa takut untuk memegang bayi, apatah lagi merasa ubun-ubunnya. Namun anda tak perlu risau kerana bayi tidak akan berasa sakit apabila anda menyentuh ubun-ubunnya. Bahkan, ia boleh menjadi petanda kesihatan yang penting untuk Mama dan Papa tahu. Yang penting, sentuhlah dengan lembut dan berhati-hati ya!