Petua Berkesan Rawat Cirit-Birit (Diarea) Dengan Rebusan Daun Jambu Batu. Mudah & Jimat

DIAREA atau cirit-birit merupakan sejenis keadaan kesihatan yang menyebabkan penghidap rasa tidak selesa. Ia bukan sahaja kerana membuang tinja yang bersifat cair malah kadang-kadang terpaksa berulang-alik ke tandas beberapa kali dalam sehari.

Perut memulas atau sakit perut merupakan simptom yang sering dialami oleh penghidap diarea. Sesetengah penghidap diarea mengalami simptom lain misalnya loya, lesu seluruh tubuh, sengal sendi dan hilang selera makan.

Diarea sering dikaitkan dengan keracunan makanan atau istilah yang biasa digunakan ialah tersilap makan. Diarea jenis ini dipercayai berpunca daripada bakteria tertentu yang mencemari makanan yang dimakan menyebabkan infeksi dalam usus lalu menimbulkan inflamasi atau keradangan.

Namun begitu diarea yang berpunca daripada makanan, tidak semestinya berpunca daripada serangan bakteria yang mencemari makanan yang dimakan.

Tepung misalnya boleh menyebabkan diarea pada sesetengah orang kerana kandungan gluten. Oren, tomato dan jagung menyebabkan diarea kerana berlaku tindak balas makanan (food reaction) pada sesetengah orang.

Makan makanan masam misalnya yang ditambah cuka, buah mempelam, kelubi, belimbing, binjai dan kemang juga boleh menyebabkan seseorang mengalami diarea.

Akibat stres

Seseorang yang mengalami stres misalnya akibat perjalanan menaiki kapal terbang selama berbelas jam atau mengalami tekanan kerja juga boleh mengalami diarea. Kemurungan, rasa sedih, rasa bimbang dan rasa takut juga boleh menyebabkan diarea.

Terdapat sejenis diarea di mana penghidap bukan sahaja mengalami pembuangan tinja bersifat cair malah akan mendapati tinja mengandungi darah.

Selain itu penghidap perlu sering berulang-alik ke tandas kerana mengalami sakit perut secara terus-menerus serta membuang tinja dalam bentuk lendir. Dari sudut perubatan moden, diarea jenis ini dikenali sebagai dysentery yang berlaku akibat serangan bakteria tertentu pada saluran usus.

Sesetengah kanak-kanak atau orang dewasa mengalami diarea kerana makan buah-buahan tertentu misalnya buah mempelam masak serta manis. Buah yang sama tidak menyebabkan diarea kepada orang lain.

Terdapat pendapat menyatakan bahawa ia berlaku berpunca daripada tindakan sistem imun terhadap protein tertentu yang terdapat dalam buah yang dimakan. Ramai yang tidak tahu sebenarnya buah-buahan juga mengandungi protein walaupun pada paras yang rendah.

Protein yang terkandung dalam buah-buahan yang menimbulkan kesan tersebut kerana dipercayai memiliki jisim molekul yang serupa dengan yang terdapat dalam vaksin yang pernah diterima suatu ketika dahulu! Kebenaran pendapat ini tidak dapat disahkan kerana tiada kajian sains pernah dijalankan untuk membuktikannya sama ada benar atau sebaliknya.

Ramai yang tidak tahu sesetengah penghidap diabetes atau kencing manis yang tidak menjalani rawatan secara sempurna mudah mengalami diarea.

Begitu juga dengan penghidap diabetes yang tidak berpantang iaitu kerap makan karbohidrat terproses di samping minum minuman manis.

Kebiasaan tersebut dipercayai membantu menyemarakkan koloni bakteria jahat. Pertambahan koloni bakteria jahat dipercayai menyebabkan usus mudah mengalami inflamasi atau keradangan lalu menyebabkan penghidap mengalami diarea.

Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh seseorang yang mengalami diarea ialah pergi berjumpa doktor untuk mengenal pasti masalah kesihatan yang dialami. Ia kerana sesetengah simptom yang mengiringi diarea sebenarnya adalah tanda bahawa seseorang sedang mengalami penyakit tertentu misalnya flu atau denggi.

Namun begitu, rawatan tradisional seperti yang dibincangkan berikut ini boleh digunakan sebagai rawatan bersendirian atau stand alone sekiranya diarea yang dialami sekadar diarea yang tidak dikhuatiri membahayakan kesihatan.

Jika diarea yang dialami tidak reda juga dalam beberapa jam menggunakan kaedah-kaedah tradisional maka bersegeralah mendapatkan perhatian doktor.

Diarea yang berlaku secara berulang-ulang akan menyebabkan penghidap mengalami kekurangan air dan garam yang juga dikenali sebagai elekrolit. Kekurangan elekrolit akan mengganggu fisiologi dan jika tidak diatasi dengan sempurna boleh menyebabkan kematian.

Penghidap diarea perlu kerap minum air masak atau mineral yang ditambah sedikit garam. Elakkan susu dan produk tenusu kerana ia boleh memburukkan diarea. Begitu juga dengan makanan bergula dan berlemak tinggi.

Orang dulu-dulu minum air rebusan daun jambu batu untuk meredakan diarea. Maksud reda di sini ialah penghidap bebas daripada diarea beberapa jam selepas minum air rebusan tersebut. Daun jambu batu yang biasa digunakan ialah daun jambut batu tua.

Cara menyediakannya amat mudah iaitu dengan merebus beberapa helai daun jambu batu dengan misalnya dua cawan air hingga air rebusan berkurang kepada separuh.

Secawan air rebusan diminum setiap dua jam di mana biasanya selepas itu simptom diarea seperti perut memulas, lesu dan loya akan beransur-ansur hilang.

Daun jambu kering juga boleh digunakan. Mereka yang biasa balik ke kampung biasanya mudah untuk mendapatkan daun jambu batu. Daun yang dikeringkan biasanya tahan dalam simpanan selama beberapa tahun jika disimpan dalam bekas kedap udara, di tempat gelap dan kering.

Sungguh beruntung bagi mereka yang gemar makan epal merah. Epal merah dipercayai membantu mencegah keracunan makanan. Ia juga boleh digunakan untuk merawat diarea. Sesiapa yang ingin mencuba rawatan mudah meredakan diarea boleh mencuba kaedah mudah ini.

Makanlah sebiji epal merah setiap sejam. Biasanya jika diarea bukan jenis melarat, akan reda dalam masa beberapa jam selepas mengambil beberapa biji buah epal merah.

Epal mengandungi pektin iaitu sejenis polisakarida larut air yang dipercayai menyerap mikroorganism seperti bakteria yang menyebabkan diarea.

Beras hangus

Beras yang disangrai dalam kuali hingga menjadi arang adalah satu daripada bahan yang boleh membantu meredakan diarea. Satu camca teh serbuk beras hangus dikatakan dapat meredakan diarea.

Kayu arang atau batu arang (charcoal) juga menyumbang fungsi yang serupa. Pil charcoal boleh didapati dengan mudah di kebanyakan kedai singseh.

Walaupun pelik pada sesetengah orang, namun 1 sudu cuka epal (apple cider vinegar) dibancuh dengan ½ cawan air dikatakan dapat meredakan diarea.

Sama ada cuka tamar berfungsi secara efektif bagi meredakan diarea tidak pula penulis ketahui. Untuk mengetahuinya penghidap diarea boleh menjalankan uji-cuba (trial and error) menggunakan cuka tamar.

Teh yang disediakan dengan merendam kulit buah delima atau kulit batang pokok delima dikatakan mampu meredakan diarea kerana ia bersifat astringen. Namun begitu, teh biasa (Camelia sinensis) yang juga bersifat astringen kerana kaya dengan tannin bukan bahan yang sesuai untuk merawat diarea.

Penghidap sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome) dan ulser usus juga mudah mengalami diarea.

Satu daripada cara mudah untuk meredakan diarea yang berpunca daripada dua penyakit tersebut ialah dengan mengambil minyak kelapa dara dan madu asli, sesudu setiap jenis bahan tersebut, 2-3 kali sehari – Sinarharian

Kaedah Lain Atasi Cirit Birit Dengan Pucuk Jambu Batu.

Bagi mengatasi masalah cirit birit secara tiba-tiba, rendamkan daun pucuk jambu batu ke dalam air panas bersama sedikit garam untuk membersihkan kotoran pada daun tersebut.

Setelah pucuk jambu itu layu, bolehlah di makan. Insya-Allah, perut tidak sakit lagi dan usus dapat berfungsi dengan baik.

Selain dari itu, anda juga boleh mengamalkan meminum teh pekat tanpa gula. Jika cirit-birit anda berterusan, anda dinasihatkan segera berjumpa doktor.

 

(Visited 182 times, 1 visits today)