“Saya Bukan Kejar Glamour, Tetapi Saya Sakit Hati Tengok Banyak Betul Pelitup Muka Dibuang Merata-Rata”

“SAYA buat ini bukan kejar glamour, tetapi saya sakit hati dan mata tengok banyak betul pelitup muka dibuang bersepah merata-rata sebelum membuat keputusan mengutipnya sendiri,” kata R Vasugi, 36.

Vasugi berkongsi aktivitinya bersama adiknya, K Suriya, 19, mengutip pelitup muka yang dibuang di sepanjang perjalanannya dari rumahnya, Sungai Bakap, Pulau Pinang ke tempat kerjanya di Parit Buntar, Perak, Ahad lalu.

Hantaran dimuat naik di Facebooknya itu meraih perhatian dan reaksi majoriti warganet yang menyokong usaha murni dilakukan wanita itu serta mengecam mereka yang tidak bertanggungjawab berkenaan.

Kerani akaun sebuah syarikat peruncitan terkemuka itu berkata, tindakannya itu didorong kerana kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19 yang masih melanda negara.

Katanya, sudah menjadi rutin hariannya akan melalui kawasan berkenaan ke tempat kerja dengan membonceng motosikal ditunggang suaminya.

“Ketika dalam perjalanan saya perasan banyak pelitup muka bersepah sana sini membuatkan saya rasa bimbang dengan penularan Covid-19 yang masih belum reda.

“Saya bimbang, jika ‘sampah’ itu kita tidak tahu mungkin ada bakteria atau virus dibiarkan begitu saja ia akan mendatangkan risiko bukan saja kepada saya dan keluarga malah pengguna jalan raya lain terutama warga emas dan kanak-kanak yang melalui kawasan itu,” katanya ketika di hubungi Harian Metro.

ANTARA sebahagian pelitup muka kotor yg berjaya dikutip Vasugi dan adiknya, Ahad lalu. FOTO Ihsan R Vasugi

Menurutnya, dia mengamalkan langkah keselamatan diri dengan memakai pelitup muka, penyepit serta sarung tangan ketika mengutip ‘sampah’ terbabit.

“Walaupun memang ada terselit perasaan takut (jangkitan), tetapi saya cekalkan hati bagi memastikan kawasan itu bersih.

“Oleh itu, saya menggunakan penyepit khas dan memakai pelitup muka dan sarung tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan   Tanda Lebam Di Leher Gadis 16 Tahun Ini Merungkai Beliau Telah “Bersama” Dengan 5 Lelaki

“Pelitup muka yang dikutip akan dikumpulkan dalam karung beg plastik di rumah saya kerana masih belum memutuskan cara sesuai melupuskannya.

“Buat masa ini saya hanya akan meluangkan masa mengutipnya ketika saya bercuti pada Ahad saja kerana hari lain sibuk bekerja,” katanya.

Katanya, dia juga berkongsi kerja sukarela dilakukannya itu di Facebook bukan untuk meraih publisiti sebaliknya memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Saya tahu apa yang saya buat ini cuma perkara kecil dan tak perlu dibanggakan, jika tidak mahu mencontohinya pun tidak mengapa.

“Cuma pinta saya janganlah buang pelitup muka yang sudah digunakan itu merata-rata tempat kerana kita patut berjaga-jaga dan tidak tahu bagaimana Covid-19 ini boleh berjangkit.

“Kita pun tentu tidak mahu virus ini menjangkiti diri dan keluarga kita, jadi bertanggungjawablah amalkan kebersihan disarankan pihak berkuasa jangan sambil lewa dan lalai,” katanya yang tekad meneruskan aktiviti itu.

kredit harian metro