“SETIAP tahun saya tidak pernah lupa membeli kek buat isteri sempena hari lahirnya, namun tahun ini saya tidak dapat berbuat demikian dan menukarkannya dengan burger.”
Demikian kata Md Razif Zakaria, 55, dari Kampung Dulang Kechil, Yan, yang tular di media sosial baru-baru ini selepas dia menghadiahkan burger dengan tulisan ucapan hari lahir buat isterinya, Latifah Mohd Kasa, 44.
Menceritakan kisah itu, Md Razif yang juga peniaga berkata, pada awalnya dia sememangnya berhasrat membeli kek pada hari lahir isterinya yang jatuh pada 24 November itu.
“Sebenarnya, ketika itu saya baru sahaja pulang daripada berniaga di pasar malam Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Sungai Petani sekitar 10 malam.
“Waktu itu kedai kek semua sudah tutup, namun hasrat hati memang nak bagi sesuatu juga pada isteri memandangkan pada hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-15 pada 18 November lalu saya tak bagi apa-apa hadiah pun pada dia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Md Razif berkata, secara kebetulan ketika dalam perjalanan pulang dia ingin membeli burger buat isteri dan anak-anaknya.
“Saya singgah di kedai makanan barat dan memesan burger istimewa buat isteri, saya minta mereka tulis ucapan hari lahir di kotak burger sekali,” katanya.
Md Razif berkata, sepanjang perkahwinan mereka, isterinya tidak pernah meminta sebarang hadiah mahu pun memaksanya mengingati hari lahir isterinya itu.
“Saya sendiri yang akan cuba mengingati setiap hari istimewa dalam hidup isteri sebagai tanda saya menghargainya yang terlalu banyak berkorban untuk saya dan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Latifah berkata, dia terharu dan menghargai apa yang sudah dilakukan oleh suaminya itu.
“Saya tak pernah sangka dan berharap suami akan buat kejutan seperti itu kerana saya memahami keadaannya memandangkan situasi perniagaannya juga ada pasang surut.
“Waktu dia buat kejutan itu sebenarnya saya sudah tidur, namun dikejutkan oleh suami kerana dia nak meraikan juga hari lahir saya,” katanya.
Kisah pasangan ini turut mendapat perhatian daripada syarikat rangkaian kafe makanan terkenal, Secret Recipe yang meraikan sambutan hari lahir buat Latifah secara percuma di satu daripada cawangannya di Sungai Petani Sabtu lalu.