Selalu Berhadapan Dengan Orang Yang Jenis Sombong, Ini Cara Islam Ajar Kita “Deal”

Apabila diingatkan supaya tidak bersikap sombong, kisah yang sentiasa dikaitkan adalah kisah Iblis dikeluarkan dari syurga kerana sikap sombongnya yang tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam as. Maka kita juga sentiasa diingatkan supaya tidak sombong sesama manusia. Bahkan umat Islam dituntut untuk menjaga ukhwah kerana dikira bersaudara dalam agama, manakala dengan orang bukan Islam, kita dituntut untuk menghormati dan menjaga hak-hak mereka.


Tetapi ada masanya kita berurusan dengan orang yang sudah biasa dengan sikap sombongnya. Setiap perkara hendak diperdebatkan dan ditunjukkan bahawa dialah yang paling hebat dan lebih daripada orang lain.  Dalam hal ini, adakah seseorang itu dibenarkan membalas kesombongan tersebut?

Nasihat Imam Syafie yang mengatakan: “bersikaplah sombong kepada orang yang sombong”. Begitu juga dengan ulasan daripada Kitab Bariqah Mahmudiyyah fi Syarh Tariqah Muhammadiyah yang menyebutkan bahawa, menzahirkan sikap sombong untuk menyedarkan orang yang sombong (bukan dengan niat berbangga diri) merupakan satu sikap terpuji contohnya sikap sombong di hadapan orang jahil dan orang kaya yang sombong dengan hartanya.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga berpandangan adalah lebih baik untuk menggunakan kaedah dakwah yang digariskan oleh Al-Quran.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”  (Surah Fussilat 41:34)

Manakala dalam Surah Al-Syura, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah al-Syura 42:40)

Kesimpulannya, nilailah sendiri situasi dan keadaan cara teguran bagaimana yang perlu digunakan. Jika orang yang sombong lebih suka ditegur secara terus serta lemah lembut dan rendah hati untuk berubah, maka itulah cara yang lebih utama. Tetapi jika sebaliknya, dan diyakini bahawa balasan dengan sikap sombong mampu memberi pengajaran, maka kaedah ini juga harus digunakan. Tetapi ia perlu dilakukan dengan berhati-hati dengan niat hanya untuk memberi pengajaran dan bukan dengan rasa sombong kerana merasakan diri lebih baik.

kredit zayan