“Serangan Itu Mengejut Di, Badannya Secara Tiba-Tiba Berpeluh” AR Badul Terima Serangan Jantung Mengejut

Pelakon, pengarah dan pelawak, AR Badul sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara di sini selepas terkena serangan jantung di kediamannya semalam.


AR Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 70, mengalami serangan jantung ketika menyiapkan skrip dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas Zuhur.

Mengesahkan perkara berkenaan, Isterinya, Maizatul Osman, 39, berkata, serangan itu merupakan kali pertama dialami pelakon itu

“Badul tidak ada sejarah sakit jantung atau penyakit lain. Dia kena serangan itu mengejut di rumah apabila badannya secara tiba-tiba berpeluh dan meminta untuk dibawakan ke klinik.

“Namun, saya terus membawanya ke bahagian kecemasan HKL kemudian dia dirujuk ke IJN untuk menjalani pembedahan minor,” katanya hari ini.

Maizatul berkata, suaminya menjalani pembedahan membuka salur darah jantung yang tersumbat dan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, doktor menempatkan suaminya di wad Unit Rawatan Koronari (CCU) untuk pemantauan sebelum dipindahkan ke wad biasa. – K! ONLINE