Sering Dipandang Serong Oleh Masyarakat Gara-Gara Wanita Niqab Berkonvoi Naik Motor, Gadis Jawab Tohmahan

Kuala Lumpur: “Walaupun segelintir pihak memandang aktiviti menunggang motosikal dan berkonvoi kurang sesuai untuk wanita berniqab namun saya tetap meminatinya,” kata Nur Sumaiyah Mohamad Abiah.

Nur Sumaiyah, 21, guru hafazan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan berkata, minatnya dalam aktiviti bermotosikal bermula selepas tamat persekolahan empat tahun lalu.

“Di samping menjimatkan wang, saya lebih minat menunggang motosikal berbanding kereta kerana dapat melihat ciptaan Allah dengan lebih jelas.

“Ketika menunggang motosikal jiwa saya tenang dan seronok apatah lagi jika bersama rakan-rakan.

“Pelajar dan kenalan saya juga mengetahui minat saya ini kerana saya ke tempat kerja dan ke mana-mana pasti menunggang motosikal,” katanya.

Nur Sumaiyah berkata, dia kini lebih selesa berkonvoi kerana tidak perlu meminjam motosikal abangnya selepas dia dapat membelinya menggunakan wang simpanan sendiri, Februari lalu.

Anak kelima dari enam adik beradik itu berkata, dia tidak beranggapan hobinya itu negatif selagi dia tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

“Setiap kali berkonvoi, saya akan memastikan ada kenalan wanita ikut serta. Waktu solat juga saya tekankan bukan saja pada diri saya, tetapi juga peserta lain.

“Saya anggap minat saya ini juga sebagai jalan dakwah. Apabila berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), saya akan mengajak peserta lain sama ada lelaki dan wanita untuk menunaikan solat secara berjemaah,” katanya.

Menurutnya, rakan-rakan rapatnya antara insan yang mendorongnya untuk meminati aktiviti bermotosikal.

“Rakan rapat yang biasa saya pergi berkonvoi itu yang ada pada waktu saya senang dan susah. Apabila motosikal saya rosak, mereka sanggup datang dari jauh membantu.

Artikel Berkaitan   Penat Dimasuki Pencuri, Emak Merungut Penat Kemas Rumah Gara-Gara Habuk Banyal, Lelaki Ini Nekad Bina Rumah Tanpa Tingkap

“Disebabkan itu, saya sering mengikuti mereka berkonvoi dan lama-kelamaan aktiviti ini menjadi hobi,” katanya.

Nur Sumaiyah berkongsi minatnya itu di akaun Instagram miliknya dan kini dia mempunyai lebih 270,000 pengikut.

Nur Sumaiyah gemar bermotosikal dan berkonvoi bersama kenalan rapatnya sebagai usaha berdakwah.

kredit harian metro