
DEMI membiayai kos perubatan isteri, Mohd Nazzrul Rahman Myrlizam sanggup bersengkang mata selama lapan jam setiap hari di hadapan komputer untuk mengendalikan secara langsung permainan video di akaun Facebook (FB) miliknya.
Menerusinya, Mohd Nazzrul, 34, mampu menjana pendapatan dan demi kelangsungan hidup, lelaki yang lebih mesra dengan panggilan Ayul itu turut mengambil tawaran sebagai jurugambar majlis perkahwinan dan lain-lain acara pada hujung minggu.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia perlu bekerja keras kerana isterinya, Nurul Naquiah Saiful Anuar, 31 memerlukan sebanyak RM9,000 sebulan untuk menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan membeli bekalan ubat-ubatan bagi penyakit ‘Pulmonary Hypertension’ atau keadaan di mana arteri dan kapilari di dalam paru-paru kecil serta tersekat.
“Isteri saya disahkan menghidap penyakit itu pada Ogos tahun lalu hasil pemeriksaan di IJN yang dilakukan selepas mengalami beberapa simptom seperti kesukaran bernafas, sakit dada, bengkak pada kaki, batuk berdarah serta mudah letih.
“Memandangkan penyakit itu tidak boleh diubati menerusi pembedahan, isteri saya perlu mengambil ubat disyorkan doktor bagi membolehkan jantungnya berfungsi dengan baik namun kedua-duanya membabitkan kos yang tinggi.
“Buat masa ini, tiada lagi subsidi oleh kerajaan tetapi sejak November lalu, isteri saya ada menerima tajaan perubatan daripada sebuah syarikat penjagaan kesihatan tetapi bantuan itu hanya untuk tempoh sembilan bulan dan akan berakhir pada Julai ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Ayul, penyakit itu menyebabkan isterinya beberapa kali diserang gout dan pergerakannya terbatas kerana bengkak di bahagian sendi.
Katanya, keadaan itu sedikit-sebanyak mengganggu emosi isterinya dan sebagai suami, dia tiada pilihan kecuali memberi perhatian serta sokongan moral supaya tidak mengalah.
Di samping itu, Ayul meneruskan rutin hariannya dengan melakukan secara langsung di FB.
“Kiranya, 80 jam diperuntukkan untuk lakukan siaran langsung permainan setiap bulan dan pendapatan diperoleh daripada sumbangan penonton serta caj bulanan sebanyak RM12.90 yang dikenakan kepada setiap pengikut tetap.
“Buat masa ini, saya sudah mengumpul 76 pengikut tetapi tidak boleh terlalu selesa dan itu sebabnya saya mengambil tawaran sebagai jurugambar bagi menambah pendapatan.
“Saya bersyukur kerana kedua-dua pekerjaan itu banyak membantu menampung perbelanjaan dan kos perubatan isteri tetapi saya perlu bekerja lebih kuat untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya yang menetap di Selayang Baru, Selangor.
Ayul berkata, ujian itu banyak mengajarnya erti bersabar dan reda dengan ketentuan Allah.
Malah, apa yang berlaku tidak mengubah perasaannya terhadap Nurul Naquiah kerana mereka saling menerima satu sama lain dengan seadanya.
“Sejujurnya tiada banyak perubahan sebelum dan selepas selepas mendapat tahu penyakit isteri saya.
“Saya banyak belajar untuk reda dan bersyukur atas apa yang terjadi.
“Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang tersirat di sebaliknya dan ia menjadikan saya dan isteri lebih kuat mengharungi hari mendatang,” katanya.