Tahukah Anda Makanan Eksotik Dapat Meningkatkan Tenaga Batin Lelaki – Makanan Eksotik Punyai 1001 Khasiat

Makanan eksotik punyai 1001 khasiat


KUCHING  – Mungkin zaman nenek moyang dahulu, makan makanan yang pelik atau lebih dikenali sebagai hidangan eksotik sudah menjadi kebiasaan kerana dipercayai memiliki pelbagai 1001 khasiat.

Bagaimanapun, tidak semua masyarakat pada zaman serba moden ini boleh menerima makanan atau hidangan eksotik kerana ia mungkin menyebabkan mereka berasa loya.

Seseorang yang gemar menikmati makanan seumpama itu boleh dikatakan mempunyai selera yang bagus malah memiliki sistem penghadaman yang baik.

Pada masa sama, pelbagai alasan dan faktor yang mendorong penggemar-penggemar makanan eksotik ini untuk menikmati hidangan tersebut termasuk mempercayai ia boleh mencegah penyakit atau meningkatkan tahap kesihatan.

Tidak ketinggalan, tabiat makan hidangan eksotik turut diamalkan oleh segelintir individu di negeri ini seperti di Kuching dan Samarahan.

Bagi kumpulan ini, mereka berpendapat makanan eksotik baik untuk kesihatan seperti beberapa penyakit misalnya asma, kudis, pelancaran darah dan sebagainya.

Seorang peniaga Johnson Fraser, 30, berkata, perniagaan daging atau haiwan eksotik untuk sajian makanan cukup popular di kalangan penduduk bandar dan luar bandar.

Menurutnya, rata-rata pelanggan bukan hanya ingin merasakan keenakannya tetapi mahu memperoleh khasiat kesihatan di sebalik memakan hidangan haiwan eksotik ini.

Katanya, ia termasuk daging haiwan seperti ular, landak, babi hutan, labi-labi bergantung dengan pembelian secara borong atau kecil-kecilan.

“Haiwan eksotik ini memang laris dijual meskipun harga agak mahal dan kami terpaksa menjualnya dengan harga yang tinggi kerana bekalan agak kurang.

“Kami tidak menghadapi masalah dengan pelanggan kerana jika ada (haiwan eksotik) dijual, mereka tidak kisah dengan harga kerana mereka hanya mahu memperoleh khasiatnya,” katanya di sini baru-baru ini.

Fraser memberikan contoh, jika seekor labi-labi berharga RM35 sekilogram dijual secara borong, harganya mungkin meningkat berkali ganda kalau dibeli dengan jumlah yang kecil atau sedikit.

Katanya, ia juga bergantung kepada pelanggan tersebut, jika dia sudah biasa membeli haiwan eksotik dengan seseorang peniaga, maka mungkin dia boleh memperoleh harga yang murah.

Seorang lagi peniaga yang hanya dikenali sebagai Alious, 40-an, memberitahu, dia hanya menjual haiwan eksotik sekali-sekala sahaja bergantung kepada bekalan daripada penduduk kampung.

Katanya, terdapat penduduk kampung yang menghantar bekalan haiwan eksotik seperti ular, labi-labi dan sebagainya mengikut musim.

“Penduduk kampung tidak menghantar setiap hari dan mereka bukan memburu haiwan eksotik ini.

“Jika ada terserempak dan berjaya menangkap haiwan tersebut, mereka akan menghantar kepada peniaga untuk dijual.

“Mereka tahu ada haiwan eksotik ini menjadi satu kesalahan apabila ditangkap dan dimakan,” ujarnya.

Sementara itu seorang penduduk kampung, Anthony Jimbau, 36, berkata, dia adalah penggemar haiwan eksotik seperti labi-labi, biawak dan ular kerana ia memiliki khasiat tersendiri yang tidak ada pada makanan lain.

Menurutnya, haiwan eksotik sememangnya sedap dimakan dan memiliki khasiat tersendiri.

“Kalau dimasak lemak, kari atau sup, hidangan seperti labi-labi atau biawak memang begitu sedap untuk dinikmati.

“Saya mengakui ada sebahagian tabiat memakan haiwan eksotik adalah untuk kekuatan tenaga batin malah ia sudah terbukti sejak dari dahulu lagi,” katanya.

Jimbau Giman, 60, pula berkata, ada antara penduduk kampung yang berjaya menangkap biawak di sungai dan kemudiannya dijadikan makanan sendiri.

“Kalau kami berjaya menangkap biawak, maka kami akan makan sendiri dan dikongsikan dengan penduduk kampung yang lain.

“Kami bersama-sama menyembelih dan melapah daging biawak sebelum diagih-agihkan sesama sendiri malah kadang-kala kami makan untuk barbeku,” katanya.

Sumber: Utusan Online