Ternak 5000 Ekor, Harga Daging RM28 Sekilo, Shaik Mohamad Azmi Mampu Jana Pendapatan Lumayan Ternak Ayam Piru

Hasrat melakukan perubahan dan mencuba sesuatu yang baru ternyata memberikan pulangan lumayan kepada seorang usahawan ayam piru atau ayam belanda di Kampung Permatang Tengah, Bukit Mertajam.


Ini kerana produk bekalan ayam piru atau nama saintifiknya, meleagris gallopavo kini semakin mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengusaha hotel di negeri ini ketika menyambut beberapa perayaan.

Berbanding sebelum ini mereka terpaksa mengimport produk makanan itu dari luar negara khususnya Australia.

Shaik Mohamad Azmi Md Shariff, 55, nekad untuk mencuba sesuatu yang baru dengan membuka reban ternakan ayam piru bermula dengan kira-kira 500 ekor pada 2010.

“Saya memulakan bidang penternakan ini sejak tujuh tahun lalu pada skala kecil dengan modal RM20,000 bagi membina reban di belakang rumah dan keperluan lain.

“Namun permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan mendorong saya melebarkan perniagaan kepada skala lebih besar.

“Berkat sokongan keluarga, rakan dan bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, bilangan ternakan ayam piru kini sudah mencecah lebih 5,000 ekor,” katanya.

Beliau berkata, bidang penternakan ayam piru diusahakannya itu kini semakin menjadi pilihan pelanggan kerana produk makanan itu kurang kolesterol selain mempunyai pelbagai khasiat lain.

Ayam piru segar dijual pada harga serendah RM25 hingga RM28 sekilogram.


SHAIK Mohamad Azmi memegang ayam piru.
Sementara tempoh matang ayam piru mengambil masa antara enam hingga tujuh bulan sebelum boleh disembelih dan harganya agak tinggi sedikit berbanding produk ayam lain kerana penjagaannya memerlukan penelitian rapi.

“Industri ayam piru secara komersial khususnya di negeri ini semakin memberangsangkan mendorong saya berkongsi pengalaman dan percaya prospek produk itu mempunyai peluang cerah.

“Melihat kepada sambutan hebat diterima, saya kini memulakan langkah bukan saja dalam penternakan ayam piru semata-mata malah turut membabitkan benih, baka, daging segar dan latihan kepada usahawan,” katanya.

Pihaknya yakin dengan potensi masa depan penternakan itu yang menunjukkan peluang cerah, sekali gus dibantu Amalan Penternakan Baik (GAHP) merangkumi penggunaan mekanisasi ladang, pemakanan baik serta bantuan asas yang perlu.

Katanya, selain ternakan ayam piru, dia turut mengusahakan tanaman herba berskala kecil di sekitar kawasan berkeluasan kira-kira 0.2 hektar yang turut mendapat permintaan ramai terutama dalam kalangan pengusaha produk kesihatan.


SHAIK Mohamad melayan pelanggan membeli pokok herba.
“Antara jenis herba ditanam ialah buah rosmary, Australian Mints dan taragon yang sesuai untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

“Syukur, perniagaan tanaman herba saya semakin maju dan berjaya membantu merawat penyakit terutama kencing manis, darah tinggi serta kanser.

“Semua jenis herba dijual terus kepada pelanggan pada harga antara RM10 hingga RM15 sepasu dan saya kini menanam lebih 1,000 pasu.

“Pada masa sama, saya membuat kajian mendalam berkenaan tanaman buah strawberi yang terkenal dengan kelazatan, khasiat dan warna menarik di kawasan tanah rendah,” katanya – Harian Metro