Tertarik Mendengar Laungan Azan, Dua Pengembara Berbasikal Dari Belanda Datang Sendiri Ke Masjid

KUALA LUMPUR, 17 Jan — Tertarik mendengar laungan azan, dua pengembara berbasikal dari Belanda menjadi tetamu istimewa di sebuah masjid di Perlis.


Menariknya, kehadiran mereka disambut gembira Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang memuat naik hantaran menerusi laman Instagram.

Beliau menyertakan foto bersama pasangan suami isteri warga Belanda tersebut yang hadir di Masjid Alwi di Kangar semalam.

Bercerita lanjut, Asri menyambut kehadiran mereka selepas solat Zohor dan menyatakan masjid ini terbuka menerima kehadiran mereka sepanjang masa.

“Lihatlah, muazzin yang melaungkan azan mungkin tidak menduga bahawa ada telinga-telinga yang tidak disangka turut hadir menyaksikan solat disebabkan laungan azan yang dia laungkannya.

“Mungkin itu akan menjadi sebab hidayah seterusnya,” kata Asri mendoakan semoga Allah memberi hidayah.

Tambah Asri, tugas umat Islam adalah menyampaikan seruan ke jalan Allah, sebaliknya penerimaan atau tidak pula terletak di tangan Allah.

“Demikianlah kita dalam seruan kepada jalan Allah ini. Tugasan kita hanya menyampaikan.

“Apa yang penting kita berusaha mengikhlaskan jiwa hanya kerana Allah,” katanya.