DALIAN – Bagi membuktikan cinta sejati, seorang lelaki memutuskan untuk mengahwini mayat tunangnya ketika upacara pengebumian wanita tersebut.
Xu Shinan, 35, membuat keputusan itu selepas teman wanitanya meninggal dunia akibat barah payu dara dan mahu menunaikan impian mendiang bergelar pengantin.
Pada majlis itu, mayat Yang Liu, yang juga teman wanita Xu sejak 12 tahun lalu dipakaikan gaun pengantin putih dikelilingi 169 jambangan ros merah jambu manakala Xu membacakan ikrar perkahwinan mereka.
Menurut laporan Daily Mail, acara istimewa itu diadakan pada pagi Sabtu lalu di sebuah pusat pengebumian di Dalian, timur China.
Majlis itu disaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan pasangan terbabit.
“Isteriku, janganlah kamu bimbang, hidup tanpa mu amat menyakitkan tetapi saya tidak akan berputus asa,” ikrar Xu.
Yang meninggal dunia pada 14 Oktober lalu ketika usia 34 tahun selepas bertarung nyawa selama lima tahun akibat barah payu dara.
Menurut Xu, dia berada di sebelah mayat Yang selama 24 jam sehari sejak kematiannya mengikut ritual tradisi masyarakat di China.
Xu juga berjanji kepada isterinya untuk tidak menangis pada hari pengebumian itu namun saat mayat isteri dibakar dia tidak mampu menahan air mata.
Sebelum ini, kisah cinta luar biasa pasangan berkenaan tular di media sosial apabila mereka sering memuat naik kisah mereka kepada umum.
Mereka berkenalan ketika menuntut di universiti dan Yang mula koma pada 6 Oktober lalu apabila tahap kesihatannya mula merosot dan meninggal dunia minggu lalu.
Xu bersama mendiang isterinya Yang di hari pengebumian.