Wang Pencen, KWSP Dan ASB RM575,350 Lesap Gara-Gara Didakwa Terlibat Kes Jenayah. Inilah Taktik Scammer Terbaru Yang Semua Perlu Tahu

Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM575,350 lesap sekelip mata selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan di Kepala Batas di sini semalam.

Mangsa, wanita berusia 61 tahun itu mula terjerat dalam penipuan tersebut selepas mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai wakil Pejabat Pos Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek telah memaklumkan kepada mangsa bahawa terdapat satu bungkusan miliknya yang mengandungi bahan terlarang di pejabat pos.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa Pegawai Penyiasat bernama Inspektor Ting dari Ibu Pejabat Polis Kuantan.

“Mangsa dimaklumkan ada terlibat dalam kes pengubahan wang haram yang mana kes itu masih dalam siasatan dan meminta dia tidak memaklumkan kepada sesiapa serta memberikan kerjasama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, wanita itu yang terkejut dan terlalu takut dengan panggilan tersebut tanpa berfikir panjang telah pergi ke bank dan mengeluarkan sejumlah wang selepas mengikut arahan suspek.

“Wang berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun bank seperti mana yang diberikan oleh suspek.

“Mangsa telah melakukan sebanyak 28 transaksi ke dalam 15 akaun yang berjumlah RM575,350, namun dia dimaklumkan bahawa kesemua wang tersebut adalah bagi tujuan siasatan dan keselamatannya,” kata Noorzainy.

Bagaimanapun, mangsa akhirnya menyedari dia ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

Menurut Noorzainy, akibat terpedaya dengan sindiket itu, mangsa telah menggunakan kesemua wang simpanannya termasuklah wang pencen, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Jadi Berita Sensasi Negara, Wanita Berpura-Pura Hamil Sebab Nak Bahagiakan Suami Akhirnya Terbongkar Bila Anak Dikatakan Meninggal Hanyalah Patung Mainan