Tawaran RM400,000 Jika Anda Berani Sahut Cabaran Tinggalkan Telefon Pintar Selama Setahun

Tawaran lebih RM400,000 jika anda berani menyahut cabaran meninggalkan telefon pintar selama setahun


Jika kita hidup di zaman lampau tanpa telefon pintar, kehidupan baik-baik sahaja. Akan tetapi, di zaman ini, sanggupkah anda hidup selama setahun tanpa penggunaan telefon pintar di sisi?

Sekiranya jawapan anda ya, anda mungkin berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM418,544 (USD100,000) menerusi cabaran #nophoneforayear.

Kredit : @vitaminwater / Twitter

Pertandingan anjuran sebuah syarikat minuman tenaga berjenama Vitaminwater itu memerlukan anda memuat naik entri di Twitter, Instagram dan Facebook, dengan menyatakan perancangan anda untuk menjalani kehidupan selama setahun tanpa menggunakan sebarang bentuk telefon pintar, termasuk tablet.

Peserta yang terpilih akan diberikan sebuah telefon bimbit biasa y4ng hanya mempunyai kemudahan membuat panggilan. Sekiranya anda mempunyai niat dengan menggunakan muslihat meminjam telefon pintar milik ahli keluarga dan rakan, ia perlu dilupakan kerana syarat penyertaan tidak membenarkan.

Bagaimanapun, peserta masih dibenarkan menggunakan komputer meja, komputer riba serta beberapa fasiliti teknologi seperti Google Home dan Amazon Echo.

Kredit : Astro Awani

Pengurus jenama bersekutu Vitaminwater, Natalia Suarez dalam kenyataannya kepada CNBC berkata, idea mengadakan pertandingan tersebut adalah kerana mereka mahu mencabar kebiasaan dan mengubah obsesi masyarakat terhadap telefon pintar.

Menurut Natalia, “Tiada rutin yang lebih membosankan daripada menggunakan telefon pintar untuk melayari laman sosial setiap masa. Kerana itu, kami mencabar orang ramai untuk menukar rutin dan melakukan sesuatu aktiviti lebih bermakna dengan masa mereka.”

Sumber : vitaminwater/Twitter , Erabaru, CNBC , Astro Awani