Banyak khasiatnya air mandian herba dari 11 jenis daun untuk ibu berpantang. Air rebusan dedaun yang dicampur herba dari dapur ini dapat mengembalikan kesegaran tubuh ibu selepas bersalin. Membuang rasa letih dan lesu, selepas berhempas pulang ‘bertarung’ dalam bilik bersalin.
Petua 11 daun air mandian herba ini dikongsikan oleh Puan Nurul Diyana Kamaludindalam facebooknya. Sukar mahu mendapatkan ilmu air mandian sebegini. Dan tak ramai juga ibu-ibu dalam pantang yang betul-betul praktik mandian air rebusan herba ini.
Tapi jika tidak dikongsi generasi akan datang, tidak tahu kelebihan tradisi berpantang yang kita warisi turun temurun ini. Sebab itu, ibu-ibu muda walau tak praktik, sekurang-kurangnya tahu mengenainya.
Resepi Air Mandian Herba Ibu Dalam Pantang
“Amalkan selama tempoh berpantang untuk mewangikan badan, memberi kesegaran dan mengurangkan rasa stress. Ini adalah salah satu contoh resepi air mandian herba yang saya gunakan. Daun-daun herba boleh dipelbagaikan. Setiap jenis daun herba mempunyai khasiatnya yang tersendiri.”
Bahan-bahan:
- Daun kantan
- Daun mengkudu
- Daun temu tasik / lampin budak
- Daun kunyit
- Daun lengkuas
- Daun kunyit hitam
- Daun lempoyang
- Daun lemuni
- Daun mahkota dewa
- Daun kayu manis
- Hirisan lengkuas dan halia
- 1 sudu besar halba
- Hirisan limau purut
- 3 biji manjakani
- 1 batang kayu manis
Cara Buat Air Mandian Herba:
- Masukkan semua daun-daun herba dan air ke dalam periuk besar.
- Masukkan hirisan lengkuas dan halia
- Tambahkan 1 sudu besar halba. Boleh juga dipunjutkan.
- Masukkan hirisan limau purut.
- Masukkan 3 biji manjakani dan 1 batang kayu manis
- Rebus semua hingga menggelegak. Biar seketika hingga daun-daun menjadi layu. Masa ni memang akan wangi satu rumah. Bau-bauan ini boleh menjadi terapi. Rasa segar dan tenang.
Tambahan nota: Kemudian pindahkan ke dalam besen mandian yang besar dan campurkan dengan air pili (paip) hingga suhu suam. Bercebok dengan rebusan sireh dan mandi mengikut tertib.
Hampas-hampas dan dedaun jangan terus dibuang. Boleh digunakan untuk sental badan secara perlahan.
Aturan Mencuba Air Mandian Herba
- Mandi herba dilakukan sebelah pagi selepas selesai proses bertungku dan bersalai.
- Memilih air mandian herba berbanding air biasa sangat digalakkan kerana setiap daun-daun herba memiliki khasiatnya yang tersendiri.
- Mandi herba boleh dilakukan 1 atau 2 kali sehari. Seeloknya pada waktu pagi sekitar jam 8-9 pagi. Petang sebelum jam 7 malam.
- Sebelum mula mandi, ibu-ibu boleh bercebuk dengan air rebusan daun sireh bagi membantu penyembuhan luka-luka lepas bersalin.
- Ibu berpantang DILARANG mencangkung ketika mandi. Mencangkung boleh menyebabkan rahim yang masih lemah terkeluar atau tumpah darah.
- Mandi tidak boleh berlama-lama hingga mengigil kesejukan. Juga tidak boleh terlalu kerap. Cukup 2 kali
- Amalan mandi herba sebaiknya dilakukan selama 44 hari tempoh berpantang atau sekurangnya selama 2 minggu.
Cara Mandi Air Rebusan Yang Betul
- Hendaklah duduk atas bangku atau kerusi.
- Mulakan menjirus air dari bahagian kaki dahulu. Kaki kanan bermula dari jari kaki hingga ke pinggang kemudian diulang langkah yang sama pada bahagian kaki kiri. Kemudian naik perlahan hingga ke bahu kanan dan kemudian diulang pula ke bahu sebelah kiri. Dan bolehlah mandi seperti biasa.
Nota: Tujuan menjirus kaki dahulu supaya urat tak tersentak dan angin naik ke atas dan menyebabkan sakit kepala.
Manfaat 11 Daun Air Mandian Herba
- – Menyegarkan tubuh.
- – Menghilangkan rasa letih dan lesu.
- – Melancarkan peredaran darah.
- – Mengendurkan dan melembutkan urat-urat saraf yang menegang / mengeras masa proses bersalin.
- – Memulihkan tenaga ibu.
- – Mengeluarkan angin.
- – Mengatasi rasa kebas, sengal tulang, sendi dan otot.
- – Melawaskan pengeluaran darah nifas.
- – Menghaluskan kulit.
- – Awet muda.
- – Bauan daun-daun herba bertindak sebagai aromaterapi untuk memberikan aura-aura yang lebih segar dan mengurangkan stress.
Sumber/Foto : Facebook Nurul Diyana Kamaludin via mingguan wanita.my
Sudah Baca, Klik Like Dan Komen Dibawah Jika Tulisan Ini Bermanfaat. TQ – RencahRasa