18 Jenis Manusia Beracun Yang Harus Dielakkan Dari Jadi Kawan Rapat

Macam mana nak tahu samada anda ni, jenis manusia beracun ?


Atau lebih tepat lagi, macam mana nak tahu perangai anda sebenarnya, di mata orang lain ?

Cara paling mudah adalah dengan melihat perangai kawan-kawan rapat yang anda sering bertemu dan melepak bersama.

Kalau majoriti kawan-kawan yang sering anda jumpa adalah dari kalangan manusia beracun, maka ada kemungkinan besar, anda juga masuk dalam kategori manusia beracun.

Oleh itu, amat penting untuk anda tapis, dengan siapa kawan-kawan yang boleh dijadikan kawan rapat.

Berkawan dengan semua orang boleh, memang tak ada masalah. Tapi, kawan rapat perlu dipilih dengan teliti.

Kawan rapat yang saya maksudkan di sini, ialah kawan-kawan yang anda sering berjumpa dan habiskan masa bersama. Pastikan mereka jenis manusia baik yang mendatangkan manfaat untuk keselamatan anda dunia dan akhirat.

18 jenis manusia beracun yang perlu dijauhi
Cuba semak semua kawan-kawan yang anda banyak habiskan masa bersama selama ini. Ada tak mereka punyai salah satu atau lebih dari 18 sikap buruk yang beracun.

Berikut saya senaraikan jenis kawan-kawan yang elok untuk anda jauhkan diri. Kalau kuat, boleh nasihatkan agar mereka berubah.

Tapi kalau tak kuat, pastikan supaya mereka tak jadi kawan rapat sangat.

#1. Suka mengumpat cakap buruk terhadap orang lain
Orang macam ni elok tak payah nak rapat sangat. Dia suka mengata perkara buruk kat belakang orang. Bila depan anda dia kata kat A, bila duduk dengan A dia akan mengata kat anda pula. Perhatikan kawan jenis macam ni dan mula jauhkan diri darinya.

Macam mana nak tahu dia mengata kat belakang anda ?

Kalau dia mengata buruk pasal orang lain kat depan anda, maka tak mustahil dia juga akan kata buruk pasal anda kat orang lain.

Paling penting, anda sendiri perlu disiplinkan diri untuk tak mengata keburukan orang lain.

#2. Sentiasa bersangka buruk
Orang yang tak pernah nak fikir pasal benda baik akan berakhir dengan apa yang dia fikirkan. Semua yang berlaku disekelilingnya akan ditafsirkan secara negatif. Orang macam ini biasanya mati cepat. Hidup tertekan dan sentiasa menyusahkan orang lain.

Antara kawan-kawan yang saya perhatikan punya ciri-ciri sentiasa bersangka buruk adalah dari kalangan kaki mabuk politik kat Malaysia.

Kaki mabuk politik ini, otak mereka penuh dengan sudut negatif sahaja. Mereka lebih pantas kesan perkara negatif berbanding perkara positif.

#3. Tidak bertimbang rasa
Orang yang bertimbang rasa biasanya dapat menyelami perasaan orang lain. Segala tindakannya dipertmbangkan terlebih dahulu berdasarkan keadaan yang bersesuaian.

Orang yang tak bertimbang rasa tak ada langsung kemahiran menyelami perasan orang lain. Dia kasar tak kira tempat.

Jauhkan diri anda dari berkawan rapat dengan orang macam ini sebab dia hanya menjauhkan rezki dan peluang anda untuk berjaya samada di dunia mahupun di akhirat.

#4. Ambil banyak masa anda dengan sia-sia
Ada orang ambil banyak masa anda, tetapi masa yang anda berikan pada mereka tidak sia-sia. Anda dapat ilmu, manfaat kebendaan dan lain-lain yang diperlukan setiap kali anda habiskan masa dengan mereka. Orang macam ini memang terbaik untuk dijadikan kawan rapat.

Ada orang yang akan habiskan banyak masa anda, tapi kesemuanya hanyalah sia-sia sahaja. Buang masa dengan perkara tak berfaedah, duduk berjam-jam mengata sana sini, buat ulasan politik negara dan kritik semua orang.

Kalau tak cerita pasal orang, dia akan mengeluh ketidak adilan hidup yang dialaminya dan macam macam lagi. Tak payah nak rapat dengan manusia beracun macam ni.

Saya pernah ada seorang kawan yang suka ajak saya minum dan berbual panjang. Dia hidup mewah dengan kereta mewah dan berbagai jam tangan mewah. Setiap kali jumpa dia akan cerita kehebatannya dan berbagai projek dan kebendaan mewah yang dia baru beli. Bila waktu bayar, saya juga yang sentiasa keluarkan duit. Tak ada apa ilmu dan peluangpun yang saya dapat darinya. Dia langsung tak mendatangkan apa-apa manfaat pada saya. Akhirnya saya elakkan diri saja darinya dan ternyata itu satu tindakan yang amat melegakan.

#5. Sentiasa ada krisis dan konflik dengan orang lain
Setiap kali jumpa, ada saja krisis baru dengan orang yang lain pula. Itu tandanya dia yang bermasalah dan bukannya orang lain. Tapi biasalah, dia akan tuduh semua orang lain punya masalah dan tak pernah nak mengaku masalah diri sendiri. Tak payah mengaku kawan rapat dengan orang macam ni.

#6. Sering pusing cakap
Orang yang suka pusing cakap bukan susang sangat nak dikesan. Mereka jenis yang tak pernah mengaku silap. Jika ternyata salahpun, masih nak pusing sana sini untuk dibetulkan. Bukan pusing cakap saja, mereka juga suka berbohong. Letih kawan dengan orang macam ini.

#7. Sentiasa kritik anda
Setiap kali jumpa dia akan kritik anda dengan bermacam sudut negatif. Hampir tak ada apa satupun yang anda ada dan yang anda buat boleh dipujinya. Jika benarpun anda memang terlalu lemah sebegitu, kritik 100% tidak akan membantu anda untuk maju.

Kritik yang keterlaluan sepanjang masa juga menunjukkan orang tersebut memandang rendah dan tidak hormat pada anda. Daripada anda terus rasa lemah setaip kali bertemu dengannya, elok dijauhkan diri saja darinya.

#8. Lebih suka bercakap dari mendengar
Ini amat mudah nak kesan. Mereka cakap tak berenti, potong cakap orang dan sebenarnya langsung tak dengar apa orang lain cakap. Orang macam ini hanya buat anda rasa seperti berkawan dengan seekor burung kakak tua yang tak punya perasaan.

#9. Asyik dia saja yang jadi mangsa
Kalau semua orang salah dan dia saja yang jadi mangsa keadaan dan mangsa orang lain, itu tanda yang amat jelas jenis manusia beracun. Mereka tak punya sikap bertanggung jawab terhadap apa saja keadaan yang berlaku hatta walaupun pada diri mereka sendiri.

#10. Suka sakitkan hati
Apa saja yang keluar dari mulutnya akan membuatkan orang sakit hati. Tindakannya juga sering menyakitkan hati. Tak semestinya menyakitkan hati anda, tapi hati orang lain disekeliling. Ini jenis orang yang anda perlu jauhkan diri.

#11. Suka berlebihan tambah garam
Apa saja ceritanya akan ditokok tambah berlebihan. Saiz s dijadikannya saiz XXL. Susah untuk percaya orang jenis macam tu. Letih untuk tapis terlebih dahulu segala percakapannya dan ini membuang banyak masa. Jauhkan saja darinya.

#12. Panas baran cepat naik darah
Tak boleh sabar lansung walaupun terhadap perkara yang remeh dan kecil. Sikit-sikit nak melenting…, jauhkan saja orang perangai macam tu.

#13. Sentiasa nak betul
Kalau memang betul tak ada orang nak kesahkan. Tapi benda yang tak betulpun masih nak pertahankan juga, itu satu masalah yang kritikal. Orang jenis macam tu tak payah nak rapat sangat.

#14. Tak hormat orang
Mungkin dia nampak macam hormat dan tak biadap dengan anda. Tapi cuba lihat bagaimana dia layan pelayan kedai makan, atau orang lain yang kerja tak berapa glamour. Orang yang suka herdik dan biadap dengan orang yang dia rasa lebih rendah darinya elak dijauhkan saja.

#15. Pentingkan diri sendiri terdahulu
Walau apapun yang terjadi, orang jenis ini akan fikirkan tentang dia terlebih dahulu baru pasal orang lain. Malah biasanya dia tak fikirkan langsung pasal orang lain. Kalau anda rapat dengan orang macam ni, anda tentu bermasalah besar.

#16. Sentiasa cuba kawal anda
Jika ada kawan yang suka nak kawal apa saja pemikiran dan tindakan anda, tiu bukanlah kawan yang patut dijadikan kawan rapat. Sekalipun teman wanita, kalau dia suka nak mengawal, elok jauhi saja darinya.

#17. Ada masalah ketagihan
Berkawan rapat dengan sesiapa saja yang ada maslaah ketagihan memang amat menyusahkan. Ketagihan tak semestinya hanya dalam bab dadah sahaja. Ada banyak lagi ketagihan dalam zaman moden ini. Ketagih main mesin kuda, ketagin main video game, ketagih layan media sosial dan macam-macam lagi. Jangan rapat sangat dengan orang yang sebegitu.

#18. Rasa tak sedap hati dengannya
Bisikkan hati anda biasanya betul. Bila anda memang ada rasa tak berapa sedap dan selesa dengan seseorang itu, ertinya memang betullah apa yang perasan anda cuba sampaikan. Perasaan anda biasanya hanya bertindak untuk selamatkan anda saja. Jadi bila hati anda rasa seseorang itu tak berapa kena, elok ikut saja.

Jangan jadi manusia beracun
Sila perhatikan kawan-kawan anda sekarang dan perhatikan mereka jenis yang macam mana. Jika ada salah satu dari apa yang disenaraikan kat atas tu, berhati-hatilah.

Dalam masa yang sama juga, perhatikan samada anda punya salah satu dari ciri-ciri yang disebutkan kat atas tu. Asyik tengok orang dan tak suluh pada diri sendiri juga merupakan salah satu sikap yang membawa kepada kerosakan diri.

Yang paling penting, sentiasa sedar dengan apa yang kita buat, sedar dengan apa yang kita cakap dan sedar dengan apa yang berlaku di depan dan di sekeliling kita.

Sumber: HidupRingkas