3 Bulan Derita Melecur Badan, Akhirnya Ali XPDC Buka Mulut

“HAMPIR tiga bulan saya tidak boleh tidur dengan lena. Berat juga susut sebanyak 20 kilogram (kg),” kata penyanyi XPDC, Ali, 52, yang melecur 30 peratus di muka, tangan dan kaki selepas disambar api pada 26 Mac lalu.

Ali ketika dihubungi berkata, disebabkan waktu tidur tidak menentu, berat badannya turun mendadak selain terpaksa menahan pedih pada bahagian luka yang dialami.

“Kalau saya terjaga pada waktu malam memang payah nak tidur. Kadang-kadang saja dapat terlelap, mungkin disebabkan terlalu keletihan. Selain itu, saya juga tidak ada selera makan. Kalau dulu berat badan melebihi 80 kg tetapi kini 62 kg saja,” katanya kepada Harian Metro.

Ketika kejadian itu, Ali sedang membakar sampah di belakang rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang sebelum api menyambar bahagian muka dan tangan apabila dia menggunakan petrol.

Ali berkata, sehingga kini dia masih terasa pedih pada bahagian kulit yang melecur namun beransur pulih.

“Saya hanya bergantung dengan pil penahan sakit yang diberi doktor dan pengambilan suplemen. Nak pulih daripada kulit yang melecur memang ambil masa. Sehingga sekarang pun masih rasa pedih dan gatal.

“Saya juga perlu jaga pantang supaya luka melecur cepat sembuh. Setakat ini, semuanya berada dalam keadaan baik cuma saya tidak boleh berdiri terlalu lama kerana rasa seperti dicengkam akibat pertumbuhan kulit baru,” katanya.

Terdahulu seorang kenalan Ali di Facebook dikenali Ali Russia memohon sumbangan orang ramai untuk meringankan beban Ali yang dtimpa musibah itu.

Beberapa gambar yang dikongsi juga melihatkan luka melecur yang dialami Ali kelihatan agak teruk dan belum pulih.

Menurut Ali, gambar itu diambil ketika luka berkenaan belum pulih sepenuhnya. Bagaimanapun, dia mengizinkan gambar itu dimuat naik supaya boleh dijadikan iktibar kepada umum.

Artikel Berkaitan   Peniaga Didakwa Gara-Gara Pasang Bendera Kedah Terbalik, Polis “Jemput” Di Restoran

“Sebenarnya itu gambar lama ketika kejadian baru berlaku. Sebelum ini saya tidak kongsikan kepada sesiapa dan saya simpan. Apabila sudah okey mereka minta izin untuk muat naik di media sosial sebagai iktibar kepada orang lain.

“Namun, ada juga yang fikir itu adalah keadaan terkini walhal ia gambar lama. Saya harap perkongsian gambar itu dapat dijadikan iktibar kepada semua orang supaya berhati-hati ketika membakar sampah atau melakukan perkara yang membabitkan api,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh mendapatkan maklumat lanjut di akaun Facebook Ali Russia.

kredit harian metro