5 Masalah Lazim Pokok Cili dan Penyelesaiannya
Pokok cili adalah antara pokok yang banyak cabarannya. Ia bukanlah tanaman yang mudah ditanam seperti kangkung, bayam dan sawi.
Cabarannya bermula dari semaian sehinggalah menuai. Kalau nasib baik, dapatlah kita gunakan cili itu dalam masakan. Jika tidak, kecewa tidak berlagu.
Sesiapa yang pernah menanamnya pasti akan mengalami lima masalah lazim yang saya nyatakan ini.
Saya berharap panduan mengenalpasti masalah dan cara penyelesaian ini dapat membantu anda sepanjang menanam pokok cili.
1. Buah Busuk dan Gugur
Kita melihat buah cili kita merimbun. Hati kita turut berbunga ingin menuai cili pada masanya. Apabila tiba harinya untuk kita mengutip hasil, kita terkejut. Banyak buah gugur dan busuk. Oh kecewanya hati!
Buah Cili Busuk Lalat Buah
Buah cili busuk akibat larva lalat buah (sumber foto: Nik Ismail)
Mengapa hal ini terjadi?
Cuba perhatikan pada buah cili. Koyak dan lihat isi di dalam. Adakah terdapat ulat di dalamnya? Jika betul, itu tandanya pokok cili kita telah diserang lalat buah.
Lalat buah atau Batrocera latifrons menyerang mana-mana pokok berbuah yang ada. Ia akan menyuntik telurnya pada buah. Menariknya, telur lalat buah ini akan menetas tepat pada masa buah mula meranum masak.
Apakah penyelesaiannya?
Gunakan pelekat kuning. Pelekat kuning ini akan menarik dan memerangkap lalat buah.
Sembur racun organik pada awal pagi sepanjang pokok cili berbuah.
Balut buah cili sebaik sahaja putik buah kelihatan
Buang dan bakar buah cili yang telah busuk itu.
Pastikan keadaan sekeliling kebun atau rumah kita bebas daripada buah busuk. Ini tidak kiralah pokok buah-buahan yang lain.
2. Bunga Luruh
Adalah normal untuk pokok cili gugur bunganya pada kali pertama berbunga. Tetapi menjadi kerisauan jika lebih daripada tiga kali bunga gugur.
Bunga Cili Luruh
Bunga cili luruh di atas tanah.
Bunga cili boleh gugur akibat kekurangan atau terlebih siraman. Oleh itu pastikan siraman air secukupnya sahaja. Gunakan medium tanah yang sesuai seperti campuran tanah 3:2:1 jika bercucuk tanam di dalam pasu.
Baja merupakan unsur penting agar pokok berbunga dengan banyak. Apabila pokok kekurangan nutrien, maka perkara pertama yang akan pokok buat adalah menggugurkan bunga.
Jadi pastikan kita telah membaja dengan cukup pada pokok cili.
3. Daun Kerinting dan Luruh
Apabila daun kerinting dan luruh, perkara pertama yang biasa saya buat adalah melihat di bawah daun pokok cili terutama daun tua di bahagian bawah pokok.
Masalah Daun Cili Kerinting
Daun cili kerinting adalah simptom pokok telah diserang serangga perosak
Jika dilihat dengan teliti, kita akan nampak bintil-bintil hitam dan warna putih seakan tepung melekat di bawah daun. Itu adalah afid dan lalat putih.
Kedua-dua serangga ini gemar sekali hinggap pada pokok cili. Mereka akan menghisap sap pokok dan seterusnya membuatkan pokok diserang penyakit.
Kehadiran serangga perosak ini membuatkan pokok mula tidak sihat. Kita dapat lihat daun mula kerinting dan gugur. Akhirnya tinggal rangka sahaja tanpa sebarang daun.
Penyelesaian mudah sahaja iaitu dengan kita menyembur racun organik. Sembur di bahagian bawah daun seawal pagi selepas subuh atau lewat petang sebelum maghrib. Kekerapan semburan sebolehnya 3 kali seminggu sehingga serangga hilang dari penglihatan kasar kita.
4. Kehadiran Semut Hitam Pada Pucuk, Bunga, Buah dan Daun Pokok
Semut adalah kawan baik kepada kutu daun atau afid. Apabila saya melihat semut pada sekitar pokok cili, saya tahu itu adalah tanda pokok saya telah dihinggap kutu daun.
Perlu kita rujuk kembali poin nombor 3. Kedatangan serangga perosak dapat dikawal dengan racun organik seperti yang saya nyatakan.
5. Pokok Mati Setelah Mula Berbunga atau Berbuah
Soalan pertama saya adalah biji benih diambil dari mana? Jika dijawab dari dapur, tentunya saya akan terus dapat jawapan yang pasti bahawa pokok itu memang mudah mati.
Pokok Cili Layu Bakteria
Pokok cili yang mati diserang penyakit layu bakteria (sumber foto: MARDI)
Buah cili yang kita beli itu adalah buah daripada pokok cili generasi F1. Jadi biji benihya akan tumbuh sebagai generasi F2.
Kelemahan utama generasi F2 adalah mudah diserang penyakit dan perosak. Sebab itulah pokok itu mati akibat daripada serangan bakteria pada akar.
Untuk atasi masalah ini, lebih baik kita gunakan biji benih daripada pek benih berkualiti. Biji benih berjenama tentunya telah dipilih dengan teliti oleh pengeluar biji benih agar pokok dapat tumbuh dengan sihat.
Itulah 5 panduan ringkas yang dapat saya berikan berkaitan masalah-masalah yang sering pekebun rumah hadapi sepanjang menanam pokok cili.
Sumber: Kebun Bandar