Pengunjung Hanya Mampu Melihat Pekerja Belon Udara Panas Diterbangkan Secara Tiba-Tiba Lalu Jatuh Dari Udara

ZHUZHOU: Seorang pengendali belon udara panas sambilan maut setelah terjatuh dari ketinggian kira-kira 30 kaki pada hari pertama bekerja di Youyi Manor, dekat bandar Zhuzhou, China.

Dalam rakaman insiden yang tular itu, mangsa dilapor bergayut pada bakul selepas belon udara panas berkenaan terbang secara tiba-tiba.

Walaupun dilihat bergelut di udara, mangsa berjaya bertahan buat seketika sebelum akhirnya terlepas pegangan pada tali lalu terjatuh ketika rakan-rakannya cuba menurunkan belon tersebut.

Beberapa pengunjung turut dilihat berlari ke arah mangsa untuk menyelamatkannya, namun gagal.

Menurut jurucakap Lexiang Aviation Sports Club, mangsa merupakan seorang pelajar universiti yang bekerja secara sambilan dengan syarikat itu.

Jelas syarikat itu, pihaknya kekurangan pengendali belon udara panas susulan pandemik COVID-19 dan terpaksa mencari pekerja sambilan.

Syarikat berkenaan dilapor telah memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa dan berjanji untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan.

“Kami telah memberi latihan kepada mangsa untuk melakukan proses pelepasan belon berkenaan, namun mangsa dipercayai tidak mengikut kaedah yang ditetapkan dan disebabkan itu kemalangan tersebut berlaku.

“Mangsa berpaut pada bakul belon tersebut ketika belon itu naik ke udara secara tiba-tiba,” kata jurucakap tersebut.

Malah, tambahnya, pengendali yang lain juga tidak menyedari perkara itu berlaku dan hanya diberitahu oleh pengunjung di kawasan itu.

Sehingga kini, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kejadian.

kredit astro awani

Artikel Berkaitan   Membuka Cawangan Baru, Pemilik Perniagaan Ini Terjumpa Resit Misteri, Lebih Mengejutkan Ia Berusia 100 Tahun