“Nice Gila Macam Aquaman Panggil Ikan” Video Pak Cik Kedai Teriak “Ti Ti ”, Ratusan Burung Meluru Kepadanya

Kuala Lumpur : Hanya dengan melaungkan suaranya sudah memadai untuk bapa lima anak, Hasfani Azilan Abd Rahman menarik ratusan burung merpati berkerumun di hadapannya

Itu kelebihan lelaki berusia 70 tahun dan kaedah berkenaan digunakan setiap kali mahu memberi makan kepada kumpulan burung merpati di parkir hadapan sebuah restoran nasi kandar di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah.

Kisah Hasfani mendapat perhatian warganet selepas video dirakam pemilik restoran, Ibrahim Farouk Hassan, 21, yang mulanya dimuat naik di Instagram (IG) dimuat naik seorang lagi individu Fariz Ikhwan di Twitter.

Bercerita lanjut, Hasfani yang bekerja sebagai pembantu restoran berkata, aktiviti memberi makan kepada burung merpati itu dilakukan sejak 15 tahun lalu dan sudah menjadi rutin hariannya pada setiap pagi dan petang.

Katanya, ia dilakukan bagi memastikan burung berkenaan tidak datang ke restoran dan mengganggu pelanggan yang sedang menjamu selera.

“Pada mulanya , aktiviti itu dilakukan untuk mengelak burung liar berkumpul di hadapan dan berhampiran restoran.

“Lama kelamaan, aktiviti itu jadi satu rutin dan kemestian yang perlu dilakukan pada setiap hari iaitu jam 8.30 pagi dan selepas waktu Asar, sekitar 5.30 petang.

“Bekalan makanan iaitu beras hancur disediakan oleh pemilik restoran dan saya mencampurkannya dengan lebihan makanan seperti roti canai dan lain-lain lagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Hasfani, sejak awal lagi dia menggunakan nama singkatan burung merpati untuk memanggil haiwan berkenaan.

Namun, katanya, haiwan itu seolah-olah sudah mengenalinya kerana tetap akan datang berkerumun apabila melihat kelibatnya walaupun tidak dipanggil.

“Saya akan melaungkan ‘ti ti’ untuk memanggil burung itu dan gelaran itu diberi daripada singkatan nama merpati.

Artikel Berkaitan   Wanita Kongsi Kalau Nak Cucur Bilis Rangup Di Luar Lembut Di Dalam Kena Campur Nasi

“Kebiasaannya, plastik berisi makanan akan saya sorokkan di dalam apron ketika menuju ke parkir tetapi kumpulan burung berkenaan tetap berkerumun sebaik melihat saya.

“Ada beberapa rakan mengatakan ia mungkin kerana suara saya aura tersendiri kerana sering melaungkan azan di masjid .Saya sendiri tidak pasti kerana memang suka memberi makan kepada haiwan termasuk kucing dan anjing di jalanan,” katanya.

Mengenai videonya yang tular ,Hasfani berkata,dia tidak tahu mengenai perkara itu sehingga pemilik restoran dan rakan memberitahunya.

“Saya tidak sangka ia boleh tular kerana rutin saya lakukan itu bukan perkara baru tetapi sudah lama.

“Malah, pelanggan dan penduduk di sini juga sudah biasa melihatnya.

“Apa pun terima kasih pada yang menonton dan memberi kata positif Moga kita sama-sama terus menyayangi haiwan,” katanya yang menjadi bilal sukarela di Masjid Abdul Rahman,Taman Pekan Baru,Sungai Petani Kedah.

kredit harian metro