Gadis Derita Jalinkan Hubungan Dengan Suami Orang, Akhirnya Terpaksa Kahwin Gara-Gara Hamil. Kemudian Diceraikan Pula…

MENJADI kebiasaan buat Mimi (bukan nama sebenar) untuk bekerja di sebuah kedai menjual telefon bimbit berdekatan rumahnya di sebuah negeri di Pantai Timur sewaktu cuti semester. Dia ketika itu merupakan seorang penuntut di sebuah universiti awam di ibu kota.


“Bagi mencari duit tambahan setiap kali cuti semester di kampung saya akan bekerja.

“Sewaktu bekerja di kedai telefon bimbit, saya telah berkenalan dengan seorang lelaki berusia awal 40-an. Kami kemudian telah bertukar-tukar nombor telefon,” katanya kepada K2 sewaktu mengimbau detik bermulanya titik hitam dalam kehidupannya.

Tambahnya, lelaki tersebut tidak henti-henti mengirim mesej kepadanya untuk berkenalan dengan lebih lanjut.

Mimi pada ketika itu masih belum memiliki teman lelaki. Disebabkan rasa kesunyian yang menghantui dirinya dia melayan lelaki tersebut.

Setelah beberapa bulan berkenalan, Mimi yang pada masa itu baru berusia 20 tahun telah jatuh hati kepada lelaki tersebut walaupun mengetahui bahawa lelaki itu suami orang.

“Dia pandai bermain kata-kata yang manis sehingga membuatkan saya semakin sayang kepadanya. Kami sering bertemu untuk melepaskan rindu.

“Ketika berkenalan dia menyatakan bahawa dia bekerja sendiri. Saya tidak kisah apa pun pekerjaannya kerana dari pandangan mata saya pada masa itu dia adalah lelaki yang baik,” ujarnya.

Selain itu, lelaki yang dikenalinya di kampung itu sanggup datang ke ibu kota untuk bertemu dengan Mimi apabila gadis itu pulang ke universitinya.

Ketika di ibu kota, Mimi telah terlanjur dengan lelaki itu meskipun pada mulanya dia tidak membenarkan lelaki tersebut melakukan perkara sedemikian kepadanya.
Namun, disebabkan sayang, Mimi akhirnya tewas dan menyerahkan tubuhnya kepada suami orang itu.

“Ketika saya pulang bercuti ke kampung kami masih melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Dia juga berjanji untuk berkahwin dengan saya apabila tiba masanya kelak,” bicara Mimi.

Disangkakan hujan sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk digambarkan terhadap nasib yang dihadapi Mimi selepas itu.

Kebahagiaan yang dikecapi olehnya ketika menjalinkan hubungan bersama lelaki tersebut diuji setelah dirinya disahkan mengandung akibat hubungan terlarang itu.

“Saya rasa tidak berapa sihat setelah pulang ke ibu kota dan dalam masa sama, saya sudah tidak datang ‘bulan’ dalam tempoh yang agak lama.

“Saya mula risau dan pergi ke farmasi untuk membeli alat uji kehamilan. Setelah diuji saya mendapati keputusannya positif. Bagi mendapatkan kepastian, saya terus ke klinik melakukan pemeriksaan dan keputusannya juga sama,” jelasnya.

Tambahnya, selepas itu, Mimi terus memberitahu lelaki tersebut agar dia bertanggungjawab. Lelaki tersebut enggan bertanggungjawab dan seakan mahu berlepas tangan.
Mimi buntu dengan nasib yang dialaminya itu.

KEHAMILAN akibat hubungan terlarang dengan teman lelakinya yang juga suami orang telah menyebabkan Mimi menanggung derita. – GAMBAR HIASAN

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk memberitahu keluarganya tentang nasib yang menimpa
dirinya.
“Ibu saya begitu kecewa dan pengsan setelah saya memberitahu perkara tersebut. Ayah saya seorang yang tenang dan dia minta saya memberitahu siapa lelaki yang bertanggungjawab.

“Ayah serta beberapa saudara terdekat pergi mencari lelaki tersebut dan minta dia bertanggungjawab mengahwini saya dengan segera. Pada mulanya teman lelaki saya itu tidak mahu bertanggungjawab tetapi dia akur setelah ayah saya mengatakan akan membuat laporan kepada pihak berkuasa,” jelasnya.

Tambahnya, bapanya sendiri telah pergi bertemu keluarga lelaki itu dan menjelaskan perkara sebenar.

Akhirnya, Mimi dan lelaki tersebut berkahwin bagi menutup aib yang telah mereka lakukan.

Setelah berkahwin dan melahirkan anak yang dikandungnya barulah Mimi sedar bahawa lelaki itu adalah seorang yang tidak bertanggungjawab.

Nafkah zahir langsung tidak pernah diberikan dan kelengkapan membesarkan anaknya banyak disediakan oleh keluarga Mimi sendiri.

“Dia langsung tidak menyediakan rumah buat saya untuk berteduh dan sebaliknya membiarkan saya terus tinggal bersama keluarga saya.

“Dia hanya sesekali datang menjenguk anaknya itu. Apabila dia teringin melakukan hubungan intim bersama, dia akan datang ke rumah saya dan selepas itu dia pergi,” ujarnya.

Mimi tidak bahagia dengan perkahwinan tersebut dan ada kalanya dia mendapat mesej daripada isteri pertama suaminya supaya dia memohon cerai daripada lelaki itu.

Mimi kemudian menceritakan permasalahan itu kepada keluarganya dan bapanya bersetuju untuk mereka bercerai.
“Ayah menasihati saya supaya mulakan hidup baharu setelah berpisah dengan lelaki itu,” jelasnya.

Mimi kemudian meminta cerai kepada suaminya dan lelaki itu akhirnya melafazkan talak ke atasnya.

Sebuah mahkamah syariah di Pantai Timur kemudian mengesahkan perceraian tersebut.
Nota: Artikel ini ditulis bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk tujuan iktibar dan pengajaran semata-mata.

kredit sinar harian