
Tegucigalpa: Gara-gara kesilapan ketika membuat pengecaman mayat, seorang wanita di Honduras tersilap mengebumikan individu lain yang disangka adalah suaminya.
Ketika Victoria Sarmiento dari El Carmen yang masih bersedih dengan ‘kematian’ suaminya, dia terkejut apabila mendapati suaminya yang sebenar pulang ke rumah.
Ia selepas empat hari dia mengebumikan mayat seorang lelaki yang disangka suaminya.
Bercakap kepada akhbar LaPrensa, Sarmiento menyalahkan pihak hospital kerana kekeliruan itu.
“Yang mati itu bukan suami saya, kerana dia bersama dengan saya sekarang. Saya kenal dia.
“Saya mahu mereka ganti balik apa yang saya sudah belanjakan (untuk urusan pengebumian) kerana mereka serahkan mayat seseorang yang saya tidak kenal.
“Pihak berkuasa di rumah mayat sepatutnya memeriksa mayat itu dengan betul bagi memastikan identiti lelaki terbabit,” katanya seperti dipetik portal Daily Mirror.
Sebelum kejadian berkenaan, Sarmiento mencari suaminya, Julio yang berusia 65 tahun itu selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah beberapa hari.
Wanita itu ian ke Hospital de Occidente pada 30 Disember lalu sebelum kakitangan di hospital itu mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat Covid-19.
Hospital de Occident mengesahkan seorang lelaki yang tiba di hospital itu pada 27 Disember lalu dalam keadaan kritikal akibat Covid-19 dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Pengarah hospital terbabit, Juan Carlos Cardona berkata, kekeliruan itu timbul berpunca daripada kesilapan Sarmiento ketika membuat pengecaman mayat lelaki yang disangka suaminya.
kredit harian metro