Masjid dan surau terpilih di negeri ini bersedia untuk menerima lebih ramai jemaah solat Jumaat esok, selepas lebih dua bulan jumlah itu dihadkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Kebanyakan pusat ibadah berkenaan sudah membuat persediaan rapi memandangkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Ibu Khaldun, Senawang, Ahmad Kamil berkata, sebahagian besar persediaan adalah pematuhan kepada SOP sedia ada yang dipraktikkan ketika PKP sebelum ini.
“Hanya 50 jemaah dibenarkan hadir dengan syarat sudah lengkap suntikan vaksin dan sudah melalui tempoh 14 hari. Individu termasuk AJK masjid sendiri yang belum melepasi tempoh 14 hari tidak dibenarkan masuk masjid.
“Untuk itu, kami hanya membuka satu pagar utama dan meletakkan sukarelawan dalam kalangan AJK untuk mengira bilangan jemaah yang masuk dan melakukan pemeriksaan terhadap sijil vaksinasi masing-masing,” katanya ketika ditemui.
Setiausaha Surau Al-Qudwah di Seremban 2, Abd Malek Mohamad, berkata pintu masjid hanya akan dibuka 30 minit sebelum azan pertama solat Jumaat esok dan jemaah yang hadir awal akan menunggu di luar masjid.
“Kami menyediakan kerusi dan khemah kepada jemaah yang datang awal. Kemudian semakan sijil vaksinasi dilakukan dan jumlah jemaah akan dikira sebelum dibenarkan masuk.
“Sekurang-kuranganya dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditugaskan menjaga pintu masuk. Untuk surau Jumaat, hanya 30 jemaah dibenar melaksanakan solat Jumaat dan individu yang datang lambat tidak dibenarkan masuk,” katanya.
Menurut garis panduan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), pihak masjid dan surau bertanggungjawab melantik pegawai keselataman atau sukarelawan bagi membantu laluan keluar masuk.
Selain perlu menyediakan pengimbas suhu, kod pengimbas MySejahtera dan cecair pembasmi kuman, pengurusan masjid dan surau juga perlu menyediakan tanda pada saf dengan jarak 1.5 meter serta bertanggungjawab mendisiplinkan jemaah.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran diberikan kepada mereka yang sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin COVID-19 seperti solat di masjid dan surau yang terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).