Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mengakui sedang dalam proses bagi mendalami ilmu agama seiring dengan perubahan ‘Islamik’ suaminya yang juga penyanyi Singapura, Aliff Aziz.
Menurut laporan Kosmo! Online, Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, dia meluangkan masa untuk mengikuti kelas agama bersama rakan-rakan artis hampir setiap hari.
“Saya mendapat tunjuk ajar kelas agama daripada Salima Habibi bersama rakan-rakan artis wanita lain.
“Kami ada grup dan akan sentiasa cari masa untuk belajar ilmu agama. Macam saya tengah bawa kereta pun, tetap akan mengaji. Walaupun Amyra Rosli tengah shooting, tengah berhenti solek, dia pun sama.
“Jadi, kita nampak usaha semua orang. Sebenarnya, semua bermula daripada ‘zero’ di mana kita mula daripada ‘alif ba ta’ sebab nak perbaiki sebutan dan perkara itu bagus. Orang cakap, semua sama level,” katanya.
Selain itu, penyanyi berusia 27 tahun itu mengambil dari sudut positif apabila suaminya menyertai program Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8) meskipun Aliff juga dalam fasa mendekatkan diri kepada agama.
“Sepanjang kenal Aliff dari usia 18 tahun, saya tak pernah tengok perubahan dirinya sampai tahap sekarang. Saya tak tahu nak gambarkan bagaimana tapi saya sangat gembira dengan dirinya.
“Aliff masuk GV8 dengan niat untuk buat kemunculan semula sebagai seorang penyanyi. Benda ini tak ganggu pun apa yang dia buat sekarang. Insya-Allah, saya bagi sokongan dan semangat.
“Saya tahu orang akan cakap itu ini tapi kita tak boleh puaskan hati semua orang. Sebagai isteri, saya tahu dia sedang buat yang terbaik bukan orang orang lain tetapi dirinya sendiri,” kongsinya.
Sebelum ini, Aliff atau nama penuhnya Mohamad Aliff Aziz melalui pelbagai fasa kontroversi berhubung rumah tangganya sebelum berjanji untuk berubah dan kini dilihat aktif menyertai jemaah tabligh.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd. Haikal Isa)