Ariz Ramli Simpan Hasrat Masuk Parlimen -“InnsyaAllah, Mungkin 2030”

Selepas pelbagai ‘drama’ yang berlaku dalam hidup Ariz Ramli atau mahu dikenali sebagai Daddycap, penyanyi dan influencer ini dilihat memulakan langkah baru apabila mengejutkan orang ramai menerusi perkahwinannya dengan seorang ibu tunggal.


Namun, rata-rata peminat menyambut baik berita gembira itu lebih-lebih lagi melihat hubungan akrab antara Daddycap dan juga anak tirinya.

Nak ubah dari dalam

Jadi, menerusi temubual eksklusif bersama Kosmo!, Ariz Ramli memaklumkan yang dia mempunyai impian yang cukup besar iaitu mahu menjadi ahli politik suatu hari nanti.

“Ya, insya-Allah tapi bukan sekarang. Mungkin 2030. Apa yang kita lalui selama ini terutamanya berkenaan permasalahan korupsi, misi kemanusiaan di Gaza, Palestin dan sebagainya, saya dah lihat banyak perkara tak munasabah.”
“Kalau saya berhenti sekarang, memang tidak akan pergi ke mana-mana. Kalau saya ada peluang masuk Parlimen Malaysia, bentang isu macam-macam, insya-Allah apa yang dibentangkan akan beri kesan kepada orang ramai terutama yang muda.”
“Sejujurnya, saya buat semua ini untuk generasi muda negara ini. Untuk waris kita yang akan datang.”
“Saya ada anak usia lima tahun dan saya nak pastikan dia membesar di tanah Malaysia yang lebih baik.”
“Cara terbaik untuk menggerakkan negara ke hadapan adalah dengan melibatkan diri dalam politik, masuk Parlimen dan mula buat perubahan di dalamnya,” katanya.

Jadikan Indonesia sebagai contoh

Menjadikan negara jiran sebagai contoh dalam urusan pentadbiran negara, Ariz merasakan yang negara ini perlukan lebih ramai golongan yang membawa visi untuk rakyat bukannya kepentingan peribadi.

“Hal ini kerana, apa yang mereka buat hanyalah berpolitik dan fikir tentang periuk nasi sendiri.”
“Tengok Indonesia yang sekarang dah jadi antara kuasa ekonomi terbesar dunia. Mereka letak orang muda iaitu pengasas Gojek, Nadiem Makarim sebagai Menteri Pendidikan. Ada juga situasi menarik lain berlaku di sana.”
“Dah sampai masa Malaysia ‘pasang’ orang dalam Parlimen yang mempunyai visi untuk rakyat.”
“Orang yang kononnya paling mulia, pakai baju cantik-cantik tapi masih buat tahi sini sana, di mana logik semua itu,” ujarnya.

Kongsi bagaimana tergerak hati ingin berkahwin

Dalam perbualan tersebut juga infleuncer itu ada berkongsi bagaimana dia mulai terbuka hati untuk berumah tangga apabila anak kepada isterinya pernah bertanya tentang hubungan mereka ketika masih belum bernikah.

“Dipendekkan cerita, masa tengah ‘lepak’, Aleesya tanya ‘mak dan daddy’ dah kahwin atau belum?”
“Kanak-kanak usia sekecil itu tanya soalan sebegitu, saya macam terasa jugalah dan fikir terus nak halalkan hubungan kami. Pelik untuk kami ada hubungan yang belum halal selepas ditegur Aleesya,” katanya.

Isteri pernah jadi mangsa gangguan ‘penunggang agama’

Tak hanya itu, Daddycap juga berkongsi satu cerita berkenaan isterinya yang pernah menjadi mangsa gangguan ‘penunggang agama’ gatal yang sering menghubunginya dan bertanya tentang hal peribadi ketika wanita itu sedang menguruskan urusan pernikahan sebelum mereka disatukan.

“Waktu itu, kami memang rancang nak kahwin dah. (Semasa persiapan itu) Elis ada beritahu saya, seorang kakitangan jabatan agama melakukan perkara tidak senonoh.
“Kakitangan itu ‘kacau’ Elis, tanya macam-macam soalan yang tidak sepatutnya menerusi WhatsApp secara peribadi.
“Kalau dia tahu bakal suami wanita yang diganggunya adalah saya, dia takkan buat semua itu. Saya cakap dengan Elis, saya nak pergi gegar pejabat dia. Tarik dia keluar, lempang dan bogelkan dia. Pasang kamera, biar dia tahu langit itu tinggi atau rendah,” dedahnya.

 

Daddycap yang sebelum ini dikenali sebagai Caprice telah melangsungkan pernikahan secara tertutup bersama Farrah Inalis atau Elis pada 15 November 2021.

Walau bagaimanapun, dia dan Elis telah memaklumkan berita gembira itu di ruangan Instagram masing-masing. Memerusi perkahwinan terdahulu Elis, dia dikurniakan seorang anak perempuan berusis 5 tahun dan sangat akrab dengan Daddycap.

Sumber: Kosmo! (Mohd. Haikal Isa), Instagram @daddycapofficial, signbycap