Video Tular Didakwa Kes Buli Tak Libatkan Institusi Seliaan KPM – Dr Radzi Jidin

Kejadian pelajar didakwa dibuli di sebuah sekolah berasrama yang tular di media sosial, tidak melibatkan institusi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata bagaimanapun kementerian itu  telah berhubung dengan pihak yang terlibat dan dimaklumkan tindakan susulan telah diambil.

“Saya menerima hantaran video yang tular berkenaan murid yang dipukul di sebuah asrama. Berdasarkan siasatan awal, kami dapati kejadian itu tidak melibatkan institusi di bawah KPM,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Radzi berkata KPM komited untuk menyediakan persekitaran sekolah yang selamat selaras dengan konsep #sekolahkuSEJAHTERA.

Tular sebuah video di media sosial yang memaparkan tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar di sebuah asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis selian MARA.

Jika video yang tular itu benar, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata  MARA memandang serius berkaitan isu itu dan  tidak sesekali memberi ruang kepada tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.

“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Artikel Berkaitan   Bekas Pesakit Kanser Ini Kongsi Jenis Makanan Yang Patut Wanita Tolak Tepi, Cegah Sebelum Melarat!