Sambutan ulang tahun perkahwinan pelakon, Rozita Che Wan terganggu apabila suami Zain Saidin dan anak perempuannya Aaisyah Dhia Rana disahkan positif Covid-19 bulan lalu.
Menurut laporan BH Online, disebabkan situasi tersebut, Rozita atau mesra dipanggil Che Ta terpaksa menunda perancangan untuk bercuti ke sebuah pulau persendirian di Langkawi.
“Saya dan Zain merancang bercuti ke pulau berkenaan selama seminggu. Sepatutnya, kami pulang sehari sebelum ulang perkahwinan kelapan pada 11 Disember lalu.
“Apa nak buat, kami tidak mampu menghalang semua ini. Zain sepatutnya menjalani penggambaran sebuah drama, bulan lalu juga terpaksa menolak tawaran,” katanya.
Pelakon berusia 48 tahun itu berkata, suaminya yang juga pelakon dan Aaisyah sudah pulih sepenuhnya selepas mengalami gejala ringan seperti demam.
Sementara itu, baru-baru ini pasangan berkenaan tetap bersanding semula dalam sebuah majlis keraian di sebuah lokasi eksklusif di ibu kota yang menjadi acara ‘wajib’ sejak dua tahun lalu.
“Pejam celik, sudah lapan tahun kami mendirikan rumah tangga. Tempoh itu bukan sesuatu yang mudah dilalui. Biasalah, ada gaduh manja dan rajuk, tetapi tidak lama.
“Pada fasa sekarang memang kena kuat bertahan dan banyak bertolak ansur,” ujarnya.
Che Ta dan Zain berkahwin pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan Aaisyah yang kini berusia tujuh tahun. Malah, Che Ta juga mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan sebelumnya.
Sumber: BH Online (Zaidi Mohamad)
Sumber : ohmymedia