“Air Zamzam Tidak Boleh Diperdagangkan!” Ini Sebabnya Kkm Melarang Keras Membeli Air Zam Zam Sekarang

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tiada pihak termasuk pengedar atau syarikat yang mendapat lesen pengimportan dan penjualan air zamzam berikutan larangan kerajaan Arab Saudi terhadap tindakan itu.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

“Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zamzam tidak boleh diperdagangkan,” katanya.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa menjalankan penguatkuasaan terhadap penjualan air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen.

“Penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak tahun 2012 hingga kini sejumlah RM77,358.30 air yang dilabelkan sebagai air zamzam dirampas,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mereka yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“KKM menasihati orang ramai supaya tidak membeli air yang dilabel sebagai air zamzam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan,” katanya.

Melalui kenyataan itu juga, KKM juga menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat penjualan air yang dilabel air zamzam kepada Pejabat Kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel Berkaitan   Dah La Kecil, Suara Pun Tak Ada. Rupanya Semut Bila Dalam Kecemasan, Ini Cara Dia “Roger” Member Dia