Keluarga Gembira Bertukar Misteri Gara-Gara Pizza Dipanaskan Dalam Oven Dimasak Bersama Seekor Ular

CAROLINA – Hasrat sebuah keluarga di Utara Carolina, Amerika Syarikat ingin menikmati hidangan ringkas di rumah mereka bertukar mimpi ngeri apabila piza sejuk beku yang dipanaskan di dalam ketuhar turut dimasak bersama seekor ular.

Dalam kejadian Isnin lalu, Amber Helm berkata, ketuharnya mengeluarkan asap bersama bau aneh sebelum menyedari kewujudan reptilia sepanjang kira-kira 18 inci itu.

“Ketika ketuhar mengeluarkan asap, saya telah meminta kedua-dua anak saya untuk bersedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan seperti kebakaran.

“Apa yang mengejutkan ialah bangkai ular tersebut dalam keadaan bergulung berada di bawah piza itu. Ia sesuatu yang amat menyeramkan kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, ketuhar tersebut sebelum ini tidak digunakan untuk menyimpan apa-apa barang atau makanan, namun mengakui tidak memeriksa dengan teliti sebelum memanaskan makanan.

“Kali terakhir ia digunakan pada Hari Krismas lepas. Ular tersebut mungkin masuk melalui lubang bahagian bawah ketuhar tetapi tidak pasti bagaimana ia boleh masuk ke dalam rumah.

“Selepas kejadian malam itu, kami sekeluarga keluar makan di restoran dan tidak menggunakan sebarang peralatan di dapur,” katanya.

Amber turut memaklumkan bahawa dia telah meminta bantuan daripada syarikat tempatan untuk melakukan pemeriksaan ke atas rumah mereka bagi mengelakkan berlaku lagi pencerobohan haiwan berbisa. – Agensi

Artikel Berkaitan   Lelaki Buat Magic Prank Anjing, Netizen Gelak Tengok Muka Anjing Terkejut Beruk