Allahuakbar! Inilah 4 Cara Bagaimana Sihir Di hantar Kepada Mangsa.

Terdapat berbagai cara sihir yang di lakukan oleh orang-orang yang dengki tersebut, supaya matlamat yang mereka impikan tercapai, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak serta bersusah payah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Tok Bomoh tersebut untuk menjayakan penganiayaan mereka. Antaranya :

1) Menanam Barang-Barang Sihir


Setelah mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini, orang tersebut mestilah menanam barang-barang tertentu yang telah di puja dan di jampi oleh Tok Bomoh, seperti minyak dagu, minyak berpuja ( minyak orang mati di bunuh ) telur ayam, kulit kerbau balau yang mati di panah petir, tulang orang mati, tulang babi, tulang kongkang, kulit babi, besi bath siam, tahi besi, paku, rambut, gigi, patung siam, tanah kubur, tengkorak, batu tokong siam atau tokong Hindu, serpihan batu asah dan sebagainya.

Barang-barang untuk tujuan menyihir ini mestilah ditanam di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh orang yang di sakitinya itu seperti di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan, diselit di tempat-tempat sulit samada di rumah, di pejabat, di kedai, di dinding, bawah rumah, dalam kenderaan atau jika barang tersebut jenis debu seperti abu orang mati, maka ia ditabur di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang hikmat itu berupa minyak berpuja kebiasaannya disapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya.

Sebab itu jika anda disihir dengan cara begini, selain dilakukan rawatan ruqyah dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran, sedapatnya barang-barang yang ditanam sedapatnya dicari dan dikeluarkan. Jika tidak, kemungkinan besar sihir itu akan terjadi semula. Perkara ini dapat dilihat dari kisah bagaimana Rasulullah sendiri yang pernah disihir melalui hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah taala:

“Sesungguhnya Nabi  disihir sehingga dikhayalkan padanya bahawa baginda melakukan sesuatu padahal baginda tidak melakukannya. Dan baginda pada suatu hari berkata kepada Aisyah : “Telah datang padaku dua malaikat, salah satunya duduk dekat kepalaku dan yang lainnya dekat kakiku. Salah satu malaikat tersebut berkata kepada yang lainnya: “Apa penyakit lelaki ini (Rasulullah)?. Yang satunya menjawab terkena sihir”. “Siapa yang menyihirnya ?”. Satunya menjawab “Labid bin Al A’shom …” .

Selepas Rasulullah disembuhkan oleh Allah, baginda berdoa kepada Allah dalam perkara sihir tersebut. Maka Allah telah menunjukkan kepada Baginda di mana barang-barang sihir yang digunakan untuk menyihir Rasulullah. Lalu baginda pun mengeluarkan barang-barang tersebut iaitu disebuah perigi.

2) Memuja Gambar

Terdapat juga cara untuk menganiayai orang lain dengan cara memuja gambar orang yang ingin di khianati seperti gambar tersebut di seru dan di jampi serta di cucuk-cucuk dengan jarum atau di gantung di sesuatu tempat yang berangin supaya sentiasa berbuai. Selain gambar, alat-alat badan seperti pakaian, baju dalam atau seluar dalam seseorang juga boleh digunakan sebagai alat untuk memuja dan menganiayai seseorang terutamanya dalam penganiayaan yang berkaitan dengan masalah cinta , rumah tangga dan kasih sayang.

Dalam zaman teknologi dan berkembangnya penggunaan media sosial, kita suka memuatnaik gambar-gambar kita ke laman sosial seperti facebook, twitter dan lain-lain. Ini sebenarnya akan mendedahkan gambar-gambar tersebut untuk digunakan bagi tujuan sihir.

3) Tuju Melalui Angin/Makanan

Pengkhianatan juga boleh dilakukan dengan cara membuat tuju kepada orang yang ingin di sakiti dan di hantar melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati di rumah Tok Bomoh dengan di tuju dan di qasadkan kepada orang yang dihajatinya. Penganiayaan juga boleh dilakukan dengan memasukkan sesuatu hikmat ke dalam makanan dan minuman seseorang.

4) Memuja Patung Sebagai Pengganti Orang Yang Dizalimi

Pemujaan patung yang di puja dan diqasadkan kepada orang yang dihajati juga kerap dilakukan oleh orang-orang yang dengki dengan tujuan untuk memporak perandakan kehidupan orang tersebut. Patung-patung tersebut di cucuk dengan jarum atau duri nibung dang sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.

Ini adalah antara empat cara menghantar sihir yang paling kerap digunakan. Ramai yang selalu bertanyakan kepada saya dengan soalan sebegini, “Ustaz, bagaimana nak elakkan dari sihir?” Jawapan saya ialah semua kita berisiko untuk disihir. Sebab itulah  Allah memerintahkan kepada kita supaya meminta perlindungan kepada Allah dari kejahatan manusia sepertimana di dalam surah al-Falaq, ayat 1 hingga 5:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. (2) Dari bahaya gelap apabila ia masuk. (3) Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). (4) Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya. / (5)”

Selain senjata utama kita ialah sentiasa memohon perlindungan dari Allah, saya menggalakkan agar jadikanlah ayat-ayat ruqyah sebagai zikir amalan harian, dan amalkan enam teknik ini. Ini kerana, dari pengamalan saya sendiri untuk merawat pesakit-pesakit, ayat-ayat ruqyah sangat berkesan sebagai penyembuh dan juga pendinding diri dari kejahatan sihir dengan izin dari Allah. Semoga kita semua dilindungi Allah dari segala kejahatan makhluk-Nya.

 

Sudah Baca, Klik Like Dan Komen Dibawah Jika Tulisan Ini Bermanfaat. TQ – IslamItuindah