Australia benarkan pekerja Malaysia tinggal hingga 3 tahun

Brisbane: Australia membenarkan pengembara muda tinggal lebih lama di negara itu bagi membantu mengatasi masalah kekurangan pekerja di ladang.


Melalui pembaharuan dasar visa itu, pemegang visa pelancong backpacker boleh tinggal di Australia sehingga tiga tahun dengan syarat mereka melakukan kerja dalam sektor pertanian selama enam bulan.

Sebelum ini, Australia membenarkan tempoh tinggal selama setahun kepada pelancong yang bekerja di Wilayah Utara yang terpencil.

Perdana Menteri, Scott Morrison mengumumkan kelmarin, mulai Julai 2019 pengembara boleh menyambung visa mereka sehingga tiga tahun, jika bekerja selama enam bulan di wilayah pertanian yang kekurangan pekerja.

Beliau membuat pengumuman itu ketika bertemu masyarakat peladang di Queensland.

Sejak 2017, kerajaan negara itu mengurangkan visa pekerja sementara bagi mengatasi masalah pendatang, namun ia menyebabkan sektor pertanian kekurangan pekerja ketika musim menuai, terutama di Queensland.

Kerajaan meluluskan lebih 200,000 visa bekerja sambil melancong sejak tahun lalu membabitkan sebahagian besar peserta dari Britain, Jerman dan Perancis dari 45 negara yang dibenarkan.

Sumb3r: Harian M3tro